"Kalau ada Tuhan, apakah buktinya?"
Isabella mula gugup menyelak helai demi helai kitab yang dipegangnya. Jemarinya sejuk dan panas dalam ketika yang sama, berkeringat, menggeletar dan tercabar. Jantung mulai berdegub kencang, sedang wajah kiai yang maulana yang mendidik imannya datang silih berganti, menyesakkan fikiran yang sememangnya sudah ketat dengan keraguan demi keraguan yang dipersembahkan Reynaldo: si lelaki ateis yang sangat berpengaruh. Blognya saja sudah mencapai ribuan pembaca, entah berapa orang sudah yang berjaya beliau 'neutral'kan dogma mereka.
"Awak tidak akan jumpa di dalam kitab buruk itu. Kitab yang korup dengan kesadisan Tuhan dan perintahNya. Tidak akan..."
Isabella semakin rancak meneliti helai demi helai kitab Tuhan itu. Matanya semakin laju mengesani dalil yang mungkin dapat menjawab persoalan Reynaldo. Kalau dia Kristian tadi, sudah tentulah dijawabnya, tuhan di tiang salib. Tapi bukan:- bukan itu jawabannya.
Dan Caleb datang. Dia yang sedari tadi memerhati mulai memandang serius perdebatan yang sedang berlaku lantaran ketiadaan pensyarah itu. Mula tadi, dia cuma dengar perbincangan antar-dogma tapi nampaknya perbualan sudah mencapai titik ambang intervensi yang perlu. Islam sedang dicabar. Sebagai pejuang agama, Caleb bangkit dan mendekati Isabella yang bertudung labuh biru laut itu. Ditanyanya:
"Ada apa ini?". Isabella tidak mendengar. Terlalu tekun pada pencariannya dalam mendapatkan jawaban. Caleb mengulangi soalan tiga kali. Hanya pada kali ketiga, Reynaldo yang menjawab,
"Aku menyuruhnya untuk memberikanku jawaban: apa bukti Tuhan. Nampaknya kata-kata Tuhan yang dipegangnya itu tidak mampu menjawab". Responnya itu berbaur sinis dan menghina.
Caleb tunduk, lalu menarik nafas. Matanya ditutup rapat-rapat, dan nafas masih dihembus dan ditarik, silih berganti. Di dalam mindanya terbayang Al-Qur'an yang diselak sehelai demi sehelai. Sehinggalah dia menemukan Surah ke-112, yakni Surahtul Ikhlas. Ditadarusnya surah itu, mengejutkan ahli kelas yang lain. Selepas itu, mafhum dibaca kuat:
"Katakanlah: Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."Seluruh kelas terkesima dengan bacaan Caleb, apatah lagi dengan mafhum surah itu Kelas yang tadinya hingar-bingar menjadi tenang. Semua mata mulai menatap wajah tiga orang yang sedang berdiskusi itu. Perbincangan yang tadinya dianggap ringan kini menjadi subjek pemerhatian mata-mata inkuisitif.
"Inilah yang kami Muslim, percaya. Tuhan tiada bertempat dan tidak pula dengan itu, tidak wujud. Tuhan wujud pada keadaan yang kita tidak akan pernah dapat bayangkan. Sebab itulah kami berani mengatakan bahawa Tuhan itu EsaNya mutlak."
Reynaldo menjeda sebentar, memikirkan logik jawaban yang diberikan Caleb tadi. Bapanya mendidiknya untuk sentiasa tenang dan objektif dalam menilai postulasi orang lain. Kerna postulasi bisa membawa ubah, jika disalah baca. Untuk itu, beliau berhati-hati. Tidak mahu dia jadi macam Anastasia yang memeluk Islam minggu lepas lantaran kalah dibidas Isabella. Anastasia baginya, mulhid yang tidak profesional.
Kaca matanya ditolak sekali lagi ke atas. Dia mahu bersuara, tetapi suaranya tersekat di halkum. Jawaban yang diberi mesti bertujuan memerangkap dua orang mukmin yang sedang merenung kerna itulah tujuan ateis; membebaskan orang lain dari bebanan ibadah. Ibadah baginya adalah bebanan halimunan yang dicipta orang dulu-dulu untuk mendapat nama. Tidak dibacanya penulisan Ibnu Ishaq, 'Sirah Nabawiy' yang mengisahkan detik-detik derita yang dilalui Rasulullah SAWS untuk menyebarkan syi`ar Islam.
Reynaldo bolehlah dikatakan suatu baka ateis yang baik. Nilai ketidakpercayaan yang ibu bapanya inkorporasikan dalam dirinya sudah beku melekat pada hempedu hati. Insaninya kini sudah tepu dengan kemungkaran terhadap Tuhan, dan setiap hari dalam blognya; ada saja pemanifestasian ilhad yang dia buat dalam bentuk tulisan.
Seperti bapanya, beliau merupakan pengagum Paul Jean Sartre, Jacques Jean Rosseau dan Hassan Bourgouiba. Antara tiga ini, paling diagungkannya adalah Hassan Bourgouiba. Dalam penulisan Kirk H. Sowell, 'The Arab World', Hassan Bourgouiba diterangkan sebagai lelaki yang berani melupuskan ibadat puasa di negara yang beliau perintah yakni Tunisia, demi memacu ekonomi negara itu. Reynaldo kagum dengan bagaimana beliau dengan lantang menentang poligami atas dasar persamaan taraf jantina.
"Apa balasanmu?", tanya Caleb. Sudah lama dia menunggu mulut Reynaldo untuk memperkatakan sesuatu.
"Ohh, untuk dalilmu itu, saya ingin bertanya suatu lagi soalan; jikalau kamu tidak tahu bagaimana rupa Tuhan dan di mana Dia, mengapa lantang kamu menjustifikasikan Dia wujud? Sedangkan perkara yang sama boleh saya lakukan untuk menjustifikasikan kewujudan Pegasus. Kamu percaya tidak, akan wujud Pegasus?"
Isabella dan Caleb menggeleng serentak.
"Maka jika begitu, kenapa harus saya percaya justifikasi prima facie kamu? Untuk saya mempercayai kamu, kamu pun perlu menerima hujah saya."
Isabella dan Caleb menunduk diam. Reynaldo dalam pada itu tersenyum puas. Nampaknya, dua orang lagi bakal menyertai armada ilhadnya. Tambahan pula, Isabella anak sang mufti, tambah terhormatlah dia. Ibu bapanya tentu bangga.
Tiba-tiba, seorang lelaki berkulit sawo matang berdiri. Diangkatnya tangan tanda ingin mencelah. Deedat juga seorang penghujah, namun dalam laam maya sahaja. Reynaldo menghentikan senyumannya.
"Ada apa-apa yang ingin ditambah?", tanyanya. Deedat mengangguk perlahan dengan senyuman penuh ikhlas.
"Sebenarnya justifikasi Pegasus kamu itu tidak bertepatan dengan justifikasi Allah dalam Islam. Oleh itu, pelayanan terhadap keduanya mesti berbeza. Allah tidak punya bentuk logik, dan tidak pula punya bertempat. Allahul wujud bilaa makan!", sentap Deedat, sebelum menyambung;
"Pada pemahaman saya sebagai Islam amatur, Allah SWT tidak mempunyai rupa yang logik dan waras. Dalam erti kata lain, Allah itu wujudnya tidak logik! Tetapi itu tidak menafikan wujudNya, sekadar ingin saya tekankan bahawa Allah wujud tanpa manusia ada keupayaan untuk meneka rupaNya. Sedangkan Pegasus mempunyai bentuk serta dimensi, dan inilah yang menuntut bukti kewujudan Pegasus."
Bertepuk kelas yang majoritinya Muslim. Reynaldo kebingungan sekejap dan kemudian bertanya jujur,
"Saya tidak faham, Deedat. Terangkan dari mula."
"Baiklah", jawab Deedat. Tidak disangka, akhirnya ilmu yang selama ini dia pelajari bakal diuji. Sebelum bermula, dibacanya Surah An-Naas. Menghela nafas dan langsung menerangkan;
"Dalam falsafah, suatu kewujudan tidak semestinya menuntut bukti empirikal. 'Burden of proof', atau bebanan bukti hanya dituntut apabila suatu kewujudan itu mempunyai dimensi empirikal. Yalah, kan kewujudan mengklaim bahawa ianya punya bentuk, maka wajib ia untuk membuktikan kewujudan bentuknya itu. Dapat?"
Reynaldo mengangguk. "Teruskan,".
"Dalam konstitusi semesta ini, terdapat beberapa kewujudan yang tidak ada bukti dan tidak memerlukannya untuk diiktiraf sebagai suatu kewujudan. Justifikasi ini adalah menurut pemahaman saya, dan atas hujah ini, adalah logik untuk sesuatu untuk wujud tanpa bukti prima facie. Dalam perkataan lain, kewujudan-kewujudan ini adalak logik untuk berdiri tanpa kelogikan. Mengejutkan pula, hujah ini tidak punya pertentangan dengan sains."
"Antara contoh kewujudan tanpa bebanan bukti adalah akal, ideologi, perasaan, kemungkinan, dan ketiadaan Mustahil dapat dibuktikan semua ini secara empirik, bukan?"
Mengangguk Reynaldo. "Mungkin betul. Lagi, lagi...". Sambil mempelawa Deedat untuk meneruskan, tangannya lancar mencatat sesuatu.
"Untuk lebih menguatkan bukti ini, saya petik jawaban seorang ateis yang pernah saya debati, yakni Steve Marfouer. Ketika saya meminta bukti kewujudan pencetus alam semesta, dia menjawab, saya petik: "Ada beberapa perkara yang tidak memerlukan bukti". Saya tempelak dia dengan jawaban itu. Dia menghina ateisme! Kalau ada kejadian atau kewujudan yang tidak memerlukan bukti, maka mengapa pula wajib bagi Tuhan- Pencipta semua- untuk mempunyai bukti?"
Seluruh kelas semakin fokus.
(bersambung..)