Friday, September 30, 2011

Semua Yang Ada (8)

Qushairy hanya mampu menutup telinga dan memejamkan mata saat melintasi kumpulan geng Mika`il yang juga musuh tradisinya itu. Sebenarnya, bukan dialah yang mencita permusuhan itu, dan dia sangat teringin berkawan dengan ahli kumpulan itu. Tetapi perbuatan mereka yang suka melaga-lagakan dagu serta bahu manusia, dan sikap 'double standard' mereka bertentangan dengan prinsip Qushairy. Memandangkan dia baru lepas berpisah dari kumpulan itu, maka segala jenis tohmahan dan fitnah akan hinggap sebagai balasan pembelotan, sebaik melintasi mereka. Itulah risikonya setiap hari ke kelas. Jika tidak dipukul, maka sudah kira baiklah.

Suasana pagi di kolej itu lebih tenang dari biasa. Embun dan kabus yang baru sahaja beranjak, memberi ruang kepada cahaya mentari untuk menjajah segenap inci kolej itu. Begitupun matahari memanca sinar, kepanasan belum cukup untuk menghalau dingin pagi daerah Southall itu.

Di hadapan kolej, puluhan kenderaan beratur, bersusun. Kesejukan di sanapun, belum usai. Masih jauh sebelum terungkai pelukan dingin kota metropolitan ini. Kesejukan seakan bertarik-tali dengan hangat mentari, menuntut hak yang bukan haknya. Pagi adalah untuk matahari, malam untuk kedinginan; ini aturan. Namun, setiap pagi begitulah, tiada mahu belajar.

Sesejuk-sejuk Southall, entah mengapa, amaun keringat Qushairy semakin bertambah. Basah kolar bajunya. Dan masa yang diambil untuk lepas dari pandangan kumpulan jelek itu seperti keabadian meniti Titian As-Sirat. Terasa sungguh lama. Para pelajar lainnya sedang asyik dengan rutin mereka- tidak tahu pula jika ada yang punya sama rasa kengerian dengan Mika`il.

"Heyy, lihat siapa di depan kita sekarang.. PEMBELOTT!" bentak Mika`il kepada Qushairy sebaik saja mata berpedang. Pengikutnya yang bersandar pada loker bangun pada posisi lurus, bagai kader diterjah sang jenderal. Di udara, ada pertunjukan perlawanan pedang sedang bertemasha, yang hanya disedari mereka berdua. Pengalaman menjadi bekas gengster menyebabkan Qushairy sedikit selesa dengan suasana itu.

"Hey pembelot, pandang aku!"

Qushairy pandang Mika`il. Mika`il cuba menentang karisma mata bekas ketuanya itu. Seakan gagal.

"Apa? Apa lagi perkara yang kaulupa uruskan dengan aku?"

Mika`il terkejut dengan respon berani Qushairy, umpama harakiri. Langsung dia memberikan isyarat supaya ahli kumpulannya mengelilingi lelaki berkulit sawo matang itu dengan menaikkan dua jarinya ke udara.  Qushairy, walaupun semakin rancak dibasahi keringat, tidak bergetar sedikitpun. Dialah antara pengasas kumpulan itu, dan dia sedar kesetiaan ahli kumpulan itu melebihi kesetiaan mereka terhadap Mika`il.

Namun tidak. Dia tidak mahu lagi bergantung dengan belas ihsan anak buahnya. Kumpulan itu sudah membawa banyak titik hitam pada hidup Qushairy. Dan pada kehidupan pelajar lain. Dia akan berdiri atas kaki sendiri, kali ini. Apa nak jadipun, jadilah. Dia sudah tidak mahu berkompromi dengan konsep bawaan Mika`il itu.

Ya dulu, semasa mula mendirikan kumpulan itu, tujuannya hanyalah untuk menjadi pembela kepada golongan pelajar yang dibuli. Meskipun tiada punya sijil dan pengiktirafan kolej, malah diburu, keberkesanan kumpulan itu dalam menegakkan keadilan yang sepatutnya tidak dinafikan golongan pensyarah. Malah, ada sebahagian daripada barisan pensyarah yang menyokong secara terang-terangan. Dr Malik pernah menyebut di dalam ucapannya semasa perhimpunan semester:

"Mereka ini-, yang membela mangsa buli dan memberi pengajaran kepada pembuli adalah suatu tindakan bayang-bayang yang sangat tuntas. Jika tidak kerana perundangan sekolah ini, sudah tentulah saya turut serta!"

Berapi-api ucapannya. Tiada yang menyumbangkan tepukan masa itu sebab perbuatan demikian akan menimbulkan rasa curiga pihak penguasa kolej. Budak-budak kolej sudah besar semuanya. Pemikiran sudah masak dipanggang asak dunia. Berbalik kepada kisah perhimpunan itu, hanya Qushairy dan beberapa orang pengikutnya yang setia sajalah yang bersorak. Sehingga menimbulkan kecurigaan dan mereka masuk ke dalam mahkamah kolej.

Ah, itu kisah dulu, bisik Qushairy. Sekarang ini, dia perlu memikirkan cara untuk melarikan diri dari situasinya sekarang ini. Entah sudah berapa lama dia bertentang mata dengan Mika`il si pembelot. Dialah yang memberitahukan pengarah tentang perbuatan Qushairy mengambil-alih autoriti penguasa sekolah. Setelah Qushairy diberkas, Mika`il merebut kedudukan itu.

"Woi, apa kamu buat tu!!"

Reynaldo muncul.

Thursday, September 29, 2011

Kritikan Tipikal Politik

Politik itu umpamanya bangunan,
Tiangnya nafsu inginkan kuasa,
Lantainya unsur megalomania,
Binaan materialis, dirias renda-renda sekularis.
Bercat hipokrasi,
Yang menerbitkan bau provokasi. 
Politik tatahnya batu neraka,
Jika dunia diberi prioritas utama,
Mengawal rutin dan cara hidup segala,
Ini bukan lagi rutin- ia bisa jadi agama. 
Politik itu asalnya murni. Suci,
Tengahnya mula pahit dan kelat.
Pada bahagian terakhir, semuanya basi.
Pemisah dua jiwa, 
Pemecah dua juta suara,
Penghambur ribuan kacau,
Menggugah, mencerca, menghalau,
Kebenaran. Politik menghijab hati,
Dengan fanatisisme melampau. 
Politik menggumpal masharakat jadi suatu jisim kebutaan.
Mempermainkan status quo, memperbudak isu.
Menekan jisim tadi jadi bekas-bekas menadah keringat.

Wednesday, September 28, 2011

Petikan Rambang: Saintis

"Saintis itu, mereka jarang menemukan bahagian sains yang baharu. Mereka lebih ramai yang menemui kombinasi baharu bahagian sains purba" 
-J. Janousse. 28 September 2011.

Menyindir Pemimpin (Persona: Laskar Amerika)


Beg disandang,
Senjata dijulang,
Panji dipegang,
Semangat digendang,
Berarak ke medan berdebu,
Berkawad ke padang sejarah,
Membahu janji kepada negara,
Menuhankan kapitalisme semata.  
Topi disarung,
Ves pun dipekung,
Kebanggaan didukung,
Ego disanjung,
Nasionalisme diagung.
Tandu kedaulatan manusia, kelembutannya; dipijak.
Habis buncah di bawah telapak.
Habis musnah dihenjak, dilanyak. 
Atas konon, namanya pendirian hak. Jangan risau, negaraku, inilah Doktrin Powell kita (menangis; tidak pasti airmata sedihkah, gembira).

Tuesday, September 27, 2011

Semua Yang Ada (7)


Langit petang kelihatan merah menyala dibakar kemegahan benderang suria. Petang semakin kini terbelah dua antara merah di Barat dan biru di sebelah Timur. Sedangkan Deedat masih sibuk dengan sesi tarbiah diri di dalam bilik, membilang butir-butir tasbih seiringan dengan rentak alunan zikirnya. Sebentar tadi sebelum itu, dia melaksanakan fardhu `Asar. Zikirnya itu, alam pun seakan turut serta.

Pada dada langit, tercoret suatu makna yang hanya pengertian sendiri dapat memuaskan desakan. Memandangkan rumah banglo dua tingkat milik ibunya itu bertempat dekat dengan perairan, maka tidak sukar untuk menyaksikan gelagat burung camar mengepakkan sayapnya, balik ke sarang. Sambil memerhatikan itu, Deedat bertahmid beberapa kali. Terimbau mafhum ayat ke 19, Surah Al-Mulk:
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Langit semakin rancak bersaling tukaran warna dan skemanya, apabila Deedat ternampak seorang lelaki yang sedang berjalan menjinjing beg kertas. Pada tangan kirinya, seutas tali dan pada hujung tali itu, seekor anjing terrier yang terkedek-kedek mendahului tuannya. Reynaldo.

Dari tingkat dua itulah, dari sebalik selapisan jendela kaca itu, Deedat melambai-lambai ke arah Reynaldo sebelum berpaling ke meja belajarnya. Tasbih diletakkan di dalam laci, pintu kaca sorong; disorong.

"Reyn!! Reynn!!!", jeritnya lagi. Lambaian tangan masih sama kekerapannya; yalah, atlit, kan.

Deedat tersenyum sendirian melihat kesukaran Reynaldo mengenderai haiwan peliharaanya itu. Dia berjalan arah mana, anjingnya berjalan arah mana. Bertarik tali pula mereka. Beberapa ketika kemudian, kawalan berjaya diraih dan Reynaldo- menyedari namanya dipanggil- menggagahi juga langkah yang semakin berat melawan kelenguhan beriadah. Berat anjing terriernya menambahkan lagi kesukaran.

Deedat menuruni anak-anak tangga depan rumah yang bersambung sekali dengan pintu sorong biliknya. Pada birai tangga itu, lilitan pokok orked ungu dan indigo menghiasi. Di perkarangan, rumput halus umpama karpet terbentang sejauh tebing yang mengunjur ke tengah pentas benua, dengan deruan angin yang meniupkan setiap helaiannya. Segala yang hidup di situ, hidup subur disimbah zarah-zarah air terpecah, hasil hempasan ombak Laut Atlantik ke perbatuan di tebung dekat situ. Dekat rumah Deedat.

"Haha, rajinnya saudara kita ni beriadah. Pemain ragbilah katakan...". Deedat mengusik rakan ragbi sepasukannya itu. Baginya, Reynaldo adalah pemain ragbi remaja terhebat yang pernah dia saksikan. Dahulu, jika tidak kerana minda strategis yang sedang berdiri tercungap-cungap di hadapannya ini, sudah tentulah Westblack telah mengalahkan pasukan mereka, Southall College. 

Reynaldo kelihatan masih belum reda dengan kepenatan. Seluruh badannya berpeluh, ditambah baju yang ketat, menampakkan ketul-ketul otot seorang pemain ragbi. Anjingnya masih cuba untuk bingkas dari situ, tetapi tangannya erat menggenggam tali berwarna hitam yang menghubungkan mereka. Disentapnya perlahan, tiap kali Harry- anjing baka Amerika itu- cuba untuk membolos ketat simpulan tali.

"Duduklah, Reyn", pelawa Deedat, sambil kerusi besi ala-ala Kolonial ditarik ke belakang bagi memudahkan Reynaldo duduk. Deedat hanya berdiri melemparkan pandangan ke laut, sebelum tersedar bahawa yang disuruh duduknya tadi itu, tetamu. Apalagi rakannya. Terus bertanya,

"Hendak segelas air kah?"

Angguk. Anjing terrier Reynaldo turut menyalak. Serba-salah tiba-tiba menyerang Reynaldo.

Deedat bergerak masuk ke dalam rumah untuk mengambil segelas air pintaan Reynaldo. Bukan air biasa diambilnya, tetapi buah limau mandarin diperahnya. Dalam pada itu, dia mengerling ke sekitar ruang tamu vila itu, mencari kelibat ayahnya yang sebentar tadi sedang khusyuk menela`ah surat khabar. Bapanya itu, tiada lain yang ditatapnya melainkan perkembangan politik di tanah air mereka, Malaysia. Setiap hari ada saja perbincangan politik yang dihidangkan bersama hidangan makan malam.

Ibunya, Puan Jessica Abdollah merupakan mu`allaf dari Texas. Bukan saja cantik, tetapi kaya dan vila ini, yang diduduki mereka ini adalah milikan bapanya, yakni datuk Deedat. Tidak pernah ibunya mengungkitkan hal itu apabila mereka dalam pertengkaran. Jadi, tiada masalah dalam famili mereka.

Dalam pada itu, Reynaldo sedang asyik menikmati bayu puputan Atlantik di halaman vila dua tingkat itu. Hatinya berkira-kira dengan kekayaan dan kepopularan serta keindahan rupa paras Deedat. Apa yang tiada pada budak lelaki Melayu-Amerika ini?

Lihat sajalah vilanya. Lihat sahaja tiga kereta dan sebuah RXZ yang tersusun di dalam garaj keluarganya. Paling tidakpun, meja yang berdiri di depannya dan kerusi yang Reynaldo duduki: mewah. Namun hairan seribu kali hairan dia. Apabila di sekolah, miskinnya kalah budak yang layak dapat biasiswa itu. Pensyarah semuanya bukan tahu betapa kayanya anak muda ini.

Pintarnya lagi, usah dipersoal, membuang masa. Tiada keraguan pintar Deedat, walaupun sedikit rendah dari Reynaldo. Kemahiran beliau mengeksperimentalisasikan pantukan dalam mutlak melalui model paip campur lampu suluhnya. Semua guru Sains bertepuk tangan apabila cahaya biasa mampu Deedat bengkokkan, sebengkok 180 darjah bulatan halus.

Angin Atlantik telah membawa Reynaldo pergi jauh ke dalam dunia iri hatinya, sehingga tidak sedar dia namanya diseru berulang-kali. Hanya setelah ditepukoleh Deedat, barulah dia meresapi semula jasad. Ruh tadi sudah terbang jauh, sejauh syurga mungkin.

"Fikirkan apa, Reyn? Pasal aturan debat lagikah?"

Reynaldo tersenyum tawar dengan usikan Deedat itu, sekadar memelihara perasaan lelaki mulia ini. Sedikit demi sedikit, entah kenapa, pelik rasa atau sememangnya daya tarikan karisma beliau- Reynaldo semakin rasa suka untuk berdamping dengan Deedat. Rasa macam bersaudara.

Sekarang dia mula ragu-ragu dengan indoktrinasi ibunya yang mengatakan Islam mengajar keganasan. Berani dia katakan; Deedatlah, pada pandangannya orang terakhir sekali yang mungkin menjadi militan di sekolah mereka.

"Deedat, tidak salahkah kalau saya bawa anjing ini ke perkarangan rumah kamu?"

"Tidaklah... asal jangan sampai masuk ke rumah.", jawab Deedat sambil menghulurkan segelas jus oren. Bersama huluran itu, disertakan senyuman ikhlas yang melambangkan dalamnya persahabatan mereka. Dahulu sekelas, semasa belum berkenal, mereka tidak pernah bertegur sapa. Keduanya asyik bersaing mengejar gelaran siapakah yang lebih pintar dalam kelas mereka. 

Remaja. Itulah tahu mereka. Sematang-matang dirinya pun, ada juga sifat kecindan sebagai manusia dan baginya yang penting usaha. Teringat pula dia Surah As-Saffat, ayat 60. Tetapi setelah dialog tempoh hari, mereka berjaya menjalin persahabatan yang memang tidak pernah orang lain fikirkan. Perbezaan hitam putih dogma tidak membantutkan usaha bagi mereka untuk saling mengenali.

"Sedang berbuat apa tadi di atas?" tanyai Reynaldo, setelah mnikmati sehirup dua air tadi. Janggal benar dia melayan bunyi ombak pecah dan serak suara beburungan camar di dalam simbahan terakhir cahaya matahari. Puputan bayu laut pun gemersik semacam.

Tiba-tiba, Harry melompat ke meja, lalu pangkuan Deedat. Anjing itu pantas menjilat mukanya sekali dua. Lalu anjing itu pantas melompat ke pangkuan Reynaldo dan apalagi;

"Harry- Harry! Behave yourself!". Laju tangan memukul anjingnya, Reynaldo. Malunya dia memperlakukan tuan rumah sebegitu, sudahlah si tuan rumah Muslim. Dipukul-pukulnya kepala Harry beberapa kali lagi. 

Deedat menghalang. Dalam kejelikan rasa mengelap lekit-lekit salivary amylase anjing kacukan itu, keinsanan merajai geram. "Jangan diapa-apakan, Reyn. Anjing  kamu tu". Jemarinya masih sibuk membuang air liur mughalazzah yang masih bersisa pada helaian rambut dan rongga. Rasa jijik memang tidak dapat dibuang jauh-jauh, tetapi dalam ketidaksengajaan itu, dia lebih merisaukan anjing Reynaldo yang dipukul tuannya tanpa henti.

Setelah meredakan Reynaldo, Deedat membongkok ke bawah meja bagi mengutip gelas-gelas yang telah dijatuhkan Harry. Dalam kepalanya bermain sejuta rasa; sama ada untuk marah dan kecewa, atau sabar. Pertama kali inilah dia rasa dijilat anjing.

Monday, September 26, 2011

Angin & Mentari

"Berhabuknya bandar metropolitan ini, sangat berhabuk. Kalau dipusing pandangan ke mana-mana arah, pasti akan terlihat selapisan jerebu coklat nipis. Bernafaspun sukar, mata perlu sentiasa dipelihara, kan Wen?"

"Wen, kenapa berdiam? Saya bercakap sedari tadi dengan awak". Allen mengeluh. Perangai teman lelakinya sudah berubah. Tiada sudah keriangan seperti mana dia mengurat Allen dulu. Keriangan itulah yang memanggil hati Allen untuk mencuba pekerti Wen, dan natijahnya jatuh cinta.

"Allen, kamu sayangkan saya, kan?" respon Wen, perlahan.

Bunyi kereta berdesingan. Tayar-tayar yang bergeser dengan lantai jalan raya, menerbitkan bau getah terbakar. Ada seorang lelaki Eropah berjanggut coklat dan botak kepalanya sedang berdiri di hadapan papan tanda dengan muka bingung. Kehangatan matahari terus-terusan menjilat kota metropolitan Kuala Lumpur. Ada suatu kesenyapan misterius yang sedang mengikat kedua manusia interkontinental itu. Wen dan Allen.

Allen menarik tangan Wen ke sebuah bangunan, dan pergi ke belakang bangunan itu. Di situ gelap, cahaya mataharipun kurang. Tong sampah berwarna hijau dan kepal-kepal surat khabar kelihatan tidak sistematik diuruskan. 

Tiba-tiba, Allen menolak Wen, condong lelaki itu pada dinding. Pantas saja Allen meletakkan bibirnya pada bibir Wen- Wen lantas menolak tubuh Allen. Mata hijau Kaukasia Allen langsung tidak menggodanya. 

"Allen, awak tidak pernah serius dengan perhubungan ini!". Berjalan pantas keluar dari lorong itu dengan air mata. Lelaki jarang menangis, hanya pertama kali itulah Allen melihat seorang lelaki menangis.

"Wen, tunggu.. tunggu!!"

Allen berlari ke arah Wen. Rambut blondenya beralun dan berkilau disapa mentari dan ditegur sang angin. Cintanya pada lelaki Asia ini sudah sangat tinggi, setinggi Gunung Reiner yang sangat dia rindui di Amerika sana. 

Mendapat saja Wen, Allen menarik kedua belah tangan Wen dan menghadapnya. 

"Kalau saya tidak serius, kenapa sanggup saya berhijrah ke sini?"

Soalan itu bukanlah jawaban untuk soalan Wen mula-mula tadi. Mata keduanya sudah saling berkaca, di khalayak itu sebuah telenovela sedang berlangsung. Allen tidak kisah pandangan manusia sudah, sedang Wen memikirkan Pandangan Tuhannya. Semua ini perlu bertitik di sini.

"Masuk Islam, ya?"

Allen mengeluh. Diikuti Wen. Sudahpun bertitik.

Sunday, September 25, 2011

Kejanggalan Rutin

"Setiap hari hidup mesti begini dan begitu. Ke sana ke mari, tiada henti. Jedanya berwaktu, tidak boleh suka-suka", bisik hati Sukyee. Jelas suaminya pun kepenatan dan karam dalam keempukan katil mereka. Esok, perkara sama akan berulang.

Saturday, September 24, 2011

Semua Yang Ada (Bahagian 6)

Deedat kelihatan tenang dengan beg sendeng berwarna khaki ketika melintasi barisan gadis pemujanya. Apabila namanya dilaungkan, dia menoleh dan tersenyum. Maka gegak gempitalah jeritan gadis. Di kolej itu, dia diiktiraf sebagai yang paling kacak, sehinggakan dibuatkan satu 'Page' dalam laman sosial 'Facebook' sebagai dedikasi terhadap keindahan wajahnya. Bukan sedikit yang menekan butang 'Like' pada laman itu; dekat 500 orang.

Reynaldo yang sedari tadi menunggu kelibatnya langsung berlari anak mendapat sang hujjahtul Islam itu. Untuk hari ini, dia mahu mempertanyakan suatu lagi soalan. Jiwanya yang dahulu neutral tidak mahu menerima menjadi ofensif terhadap Islam. Ada sesuatu dalam agama ini yang mencabar ketidakpercayaannya. Dan itu perlu diselesaikan dengan segera.

"Deedat, tunggulah!"

Deedat menoleh. Lalu tersenyum. "Ah, budak ini pasti dengan persoalan lagi", getusnya.

"Kenapa?"

"Wah, sudah ramai peminat, sombong", gurau Reynaldo. 

Deedat tersindir dengan pernyataan itu. Buku yang dijinjingnya, disusun mengikut saiz dengan yang paling besar di bawah dan paling kecil di atas. Sambil berjalan itu, mereka berdua disapa ramai orang, majoritinya perempuan. Entah kenapa Deedat merasakan lebih banyak mata memerhatikannya dari kelmarin. Mungkin sebab perdebatan teolog semalam.

Mereka bergerak ke loker. Dibuka kunci, disemak jadual hari itu dan Deedat- seperti biasa- membuka naskhah Kitabnya dan dalam posisi berdiri itu, dia bertadarus perlahan. Rakan loker sebelah yang juga sekelas, Phillip, tersenyum suka. Deedat melihatkan petanda pengislaman yang berpotensi pada mata hazel anak Prinsipal Harry itu. Prinsipal Harry adalah pengetua kolej ini.

Phillip kurang prejudisnya pada Deedat. Setiap hari dia akan berdiri di situ, seakan-akan menunggu Deedat membuka loker dan melaksanakan tadarus hariannya. Meskipun keluarganya Judeo-Kristian dan pengamal Hanukkah yang taat, Phillip tidak pernah merasakan kelazatan beragama. Terfikir juga untuk memeluk Islam, karena baginya Deedat tidak seperti lelaki Muslim lain. Ada suatu pancaran ideologi yang bersinar ke seluruh ruang setiap kali dia bersama-sama lelaki dari Malaysia itu.

Deedat perasan dirinya diperhatikan. Terus saja dia memandang Phillip dan Phillip gelabah menukar arah mata, pura-pura menyusun barang-barang dalam loker. Tidak sanggup dia melihat ke dalam sepasang mata Sufistik itu. Untuk menstabilkan rasa kekok, dia hanya berkata, "Teruskan.". Deedat tersenyum, kesenangan mungkin.

Selesai menghabiskan satu muka surat, Deedat menutup bukaan Kitab itu dengan penuh rasa hormat. Diciumnya beberapa kali, dan dia dapat merasakan aliran ruh yang sangat hebat mengaliri seluruh juzuk badan. Air matanya berkumpul di sudut mata, dilap. Entah apalah jadi dengan dirinya jika tidak kerana wahyu Tuhan itu. Berarah kepada Reynaldo yang baru saja keluar dari tandas. Bertukar senyum.

"Hah... ada apa, Reyn?"

Giliran Reynaldo pula melilaukan matanya melihat kepada keramaian ruang legar kolej mereka. Notis-notis yang tertampal pada dinding, manusia-manusia dan barisan loker besi sedang menjadi saksi kejelekan hatinya untuk menjatuhkan iman Deedat. Semalam baru dia bertanya kepada Prof Augusto- ayahnya- tentang cara menjatuhkan iman seseorang. Ayahnya pesan;

"If you cannot destroy one's faith, vilify is so that he will in turns destroy it by his own hands.."

"Hey Reyn, dengar tidak!?"

Tersusup-sasap minda bangkit ke realiti. Ilmu sebegini perlukan pengamalan, jika tidak, lupa dan kurang mahir.

"Ini... barang yang hendak aku pertanyakan: adakah Islam agama keamanan?"

Deedat terhenti langkahnya. Elektrokusi insani yang sangat menyengat melimpahi pergenangan dirinya apabila ditanyakan soalan sedemikian. Kebijaksanaannya tidak padan dengan jeda derita yang terpaksa diatasi untuk memberikan penjelasan yang rasional. Persoalan ini sudah jenuh dia dengari dan pernah dia menulis artikel kepada sebuah badan media terkenal sebagai respon kepada soalan ini. Pada artikel tersebut nama 'Ablus Sabil' tertera. Nama penanya.

"Reyn, saya permudahkan persoalan ini, ya. Bukan agama tetapi fanatisme  beragama yang menjadikan seseorang itu zalim dan teroris. Cubalah simak artikel penulisan Ablu Sabil dalam makalah 'Maya' terbitan April 2011 yang bertajuk, 'Islam: Agama Keganasan?'."

Reynaldo tercengang lagi kekakuan. Kenapalah musuhnya ini terlalu 'cool'.

Keindahan & Tarian

Dunia ini rupanya indah, meskipun dalam kegelapan, keindahan masih memancarkan. Kecantikan adalah emanasi rahmat, menurut Allahyarham Frijthof Schuon. Dan keindahan itu, seumpama sebaris lirik mahupun sealunan irama, atau paling kurang sekilas senyuman setelah penat seharian mengejar kekayaan. Kapitalisme, sebagaimana hebatpun ianya, tidak mampu memadamkan titik-titik cahaya yang menerangi langit merah manusiawi.

Ada keadaan di mana kita perlu akur dengan keindahan dan mengusir jauh-jauh rasa ego. Untuk menjadi diri-sendiri. Meskipun, ianya jauh lebih menyakitkan. Itu perlu.

Keindahan itu, iramanya rancak. Tarinya mungkin sesuatu seperti twist yang lemah, namun mampu mengundang sebaris muka riang. Keindahan itu sangat memaknakan hidup. Menarilah, jika ingin menari. Luasnya hamparan bumi ini adalah untuk kita mengembara maksud diri-sendiri. Menarilah bersama rama-rama, atau bersama bilah-bilah sinar mentari.

Friday, September 23, 2011

Keberhasilan

Titik akhir kejadian adalah kemusnahan. Tiada siapa tahu bilakah akan musnah semua ini. Sama ada kita masih dalam proses pembuatan, atau sedang menuju ke arah destinasi pemusnahan, itupun kita tidak tahu.

Namun, janganlah dibiarkan titik itu sekadar kekosongan dengan rasa nadir dalam hati. Berikan makna kepada semuanya, di sepanjang perjalanan, agar benderang titik itu, ternganga jadi lubang ke kehidupan yang satu lagi.




Itupun, kalau percayalah. Kamu?

Monday, September 19, 2011

Anak Adam

Manusia lebih banyak betulnyan dari salah. Manusia, jiwa mereka terlalu tepu dengan keinginan dan cita-cita akhirat sehingga tiada ruang untuk iman mengairi hati tandus. Pokok amalanpun melayu digigit bahang nafsu. 
Namun manusia jiwanya kental. Sangat kental sehinggakan titis wahyu kadangkala tidak menjadi pemicu limpahan aras pemikiran yang baru. Anak Adam yang meletakkan kesedaran melebihi kehendak dan di bawah keperluan memenuhi lahiriah. 
-ekstrak idea Syeikh Akbar Muhyiddin Ibnu `Arabi, 'Jalan Selamat Menuju Allah'

Sunday, September 18, 2011

Anti Nihilis

Tidak dapat dibayangkan segala apa yang berdiri di depan mata sekarang ini akan buncah menjadi debu-debu tanpa makna.

Tidak dapat ditanggapi akal seluruh apa yang berenang di laut dan merangkak di langit akan musnah bergelimpangan.

Tidak dapat diterangkan setiap yang berhidup hari ini akan dikumpulkan semula setelah mati masing-masing datang.

Tidak dapat difikirkan segenap kejahatan dan kebaikan akan dihitung dan dikira demi menentukan destinasi seterusnya.


Jika satu  zarah logik untuk berada pada dua tempat pada semasa, maka pasti Tuhan ada benarnya. Pasti pula--Dia yang Maha Kuasa--tidak boleh dipersoalkan autoritasNya.

Saturday, September 17, 2011

Kolektif

Satu atribut anak Adam yang paling menonjol adalah pluralistik dalam hampir segala perkara. Dirujuk, Dr Imarah menyebutnya sebagai sine de qua non kejadian alam, yang mengunjuk akan betapa Satunya Pencipta. Tiadalah mungkin disebut Tuhan itu Esa- dan dihayati maksud itu- melainkan dengan memiliki pengalaman hidup dalam suasana pluralistik.

Hidup sebagai makhluk yang pelbagai bangsa, anak Adam tiada yang dua samanya. Sesetengah pula ditakdirkan untuk melangkau dengan lebih jauh dalam menterjemahkan maksud kepelbagaian yakni melalui kepelbagaian peribadi dan pensifatan diri.

Masalahnya, hampir semua dari kita tidak menggunakan alasan untuk saling menghargai dan berkasih-sayang antara satu dengan yang lain, melainkan dengan angkuhnya berkata, “Aku lebih benar, maka aku lebih layak hidup”.



Pergi neraka anak Adam yang berkata demikian.

Semua Yang Ada (Bahagian 5)

Di kafeteria maktab. Reynaldo mempersilakan Deedat untuk duduk di sebelah beliau. Kerusi itu sejak tadi dikosongkan bagi membuka semula pentas perbincangan yang tertunda sebentar tadi gara-gara Mr Balachandran-pensyarah Antropologi mereka- masuk memenuhkan kelas. Beliau sajalah yang terajin antara banyak-banyak pensyarah.

"Reynaldo, sudah berapa lama awak tidak percaya?". Deedat yang sedang mengambil tempat sambil menghirup melalui straw air sirap limau memainkan peranan pula sebagai pemula. Panas terik mentari menyebabkan dia berkerut dalam menahan ketajaman bilah bahang yang menerpa ke muka. Dan atas alasan itu jugalah, dia membeli segelas air sirap limau itu.

"Entahlah, sejak saya kecil lagi. Saya selesa untuk hidup begini; tanpa agama sekali gus tanpa peraturan. Peraturan humanis dan moralis yang saya ikuti."

Reynaldo tertunduk-tunduk ketika mengucapkan itu. Tidak berani dia menentang kesyahduan sinar mata Deedat yang subur dengan iman. Titis-titis air yang ternyahwap pada gelas Deedat, itu yang ditatapnya.

"Reyn, cuba kamu lihat jalan raya itu..."

"Kenapa? Apa ada padanya?"

"Kamu nampak tidak undang-undang sedang menggenangi setiap incinya?"

"Adakah kamu menyindir?", respon Deedat, pantas.

"Adakah kamu tersindir?". Tersenyum.

"Reyn, ada banyak benda di dunia ini yang kita tahu ralat dan secara eksperimentalnya tidak wujud, namun kita patuh kepada keabstrakan perkara tersebut."

Menghela nafas. Bernafas dalam kehangatan hari sebegini sangat membakar.

"Sekularis itu, dan humanis itu pembohong jika mereka mengatakan mereka tidak punya iman. Mereka beriman sebenarnya kepada kelestarian manusia tanpa Tuhan, meskipun kelestarian itu sendiri terlontar jauh dari sudut eksperimentalisme."

Reynaldo mengangkat sedikit pandangan. Aset kebijaksanaan Deedat sangat mengganggu dia.

Semua Yang Ada (Bahagian 4)

"Can you perceive God, Deedat?"

"Yes and No, dear Reyn."

"How can that be so?"

"If you talk empirically, no; God is not Unreachable that way. But if you are asking in the sense of Spirituality, I bet you too could fell the emanation of His Power and Will."

"It is a pure bullshit. How can you say something exist as it has no proof?"

"We've discussed that in our class, Reyn."

Reynaldo knuckles his hand, as if he wants to give that hardly to Deedat's face.

Tuesday, September 13, 2011

Pertuduhan Yang Memesong

Apabila engkau tidak menemukan suatu titik yang dikehendaki, itu tidak membatalkan kewujudan titik tadi. Tidak juga mengesahkan beradaannya. Apabila kautak temukan ia, itu bermaksud pencarian perlu lebih bersungguh-sungguh dan konklusi perlu dibumikan agar tidak terbang pada jawaban yang tidak-tidak. Dan jangan lari dari parameter.

Tidak menemukan, sekurang-kurangnya engkau sudah mengerah diri untuk mencari. Proses pencarian itulah eksodus rahmat buatmu. Semoga Tuhan membukakan jalan untuk anak Adam sepertimu.

Ke syurga adalah melalui wadah ruhani yang aktif dan sentiasa liar mencari dan bukan warisan tradisi. Agama bukan tradisi, bahkan kesedaran.

Sunday, September 4, 2011

Qashshir Pencinta


Berbahagialah mereka yang tidak tahu
Tangan-tangan mereka dan kaki mereka
Mereka kekasih yang tidak mengetahui
    basah atau keringkah
Sinagog, Ka`abah, kuil berhala, biara
Tak satupun sebagaimana kosong dari kekasih  *1
Di depan pintu kedai minuman
Kuil, masjid dan biara
Aku terjatuh dalam sujud
Seolah-olah Engkau telah menatapku  *2 
 

*1 ['Divan', oleh Bab Thahir, trans. Muhammad Legenhausen dan Azhim Sarvdazr]
*2 ['Sabu-ye `Isyq', trans. Muhammad Legenhausen dan Azhim Sarvdahr]

Thursday, September 1, 2011

Semua Yang Ada (Bahagian 3)

"Oh.. jadi kalau demikian rupa, terangkan saya apa pula pembuktian untuk Allah mempunyai rupa dalam Surah Ar Rahmaan, ayat 27 itu yang menyebut Allah mempunyai wajah. Apa bukti Allah SWT mempunyai wajah?"

Dan Deedat terkelu. Bukan kerana tidak mampu menjawab, tetapi kerana terkejut dengan aras fikir Reynalddo. Memandangkan tumbuh dalam keluarga intelek, sepatutnya dia tidakpunya masalah untuk menjawab soalan ini dalam akal fikirannya sendiri. Sepatutnya dia yang berdiri dan menerangkan kenapa Allah SWT tidak punya bukti dan tidak perlu bukti untuk wujud.

Deedat sedar bahawa Reynaldo seakan sudah putus kata. Putus akal untuk menjatuhkan imaan Deedat dan dua rakannya tadi, yang hampir sirna imaan mereka. "Ateis muda yang tipikal", getus Deedat. Sangkin menyedari kenyataan itu, pendekatan yang lebih lembut perlu digunakan kerana serangan ilmiah yang terlalu agresif mungkin mengguris sebarang keinginan untuk berubah.

Deedat tersenyum langsung bergerak ke hadapan kelas meletakkan diri di hadapan papan putih. Sebatang pen marker diragut dari atas meja. Dibukanya penutup dan pantas mata pen tadi menari di atas kepolosan papan putih itu. Beberapa siri nombor dan algebra mula ternampak dan Reynaldo hanya mampu memerhati dengan rasa kekaguman. Tidak pernah dia berdepan dengan seorang Muslim seperti Deedat ini.

Semuanya ternanti penuh minat. Ada yang mula mengeluarkan buku nota, ada yang yang sedang merakam. Ada yang masih membisikkan dari telinga ke telinga, akan ramalan akhir diskusi ringkas itu. Hanya ada dua pihak, maka perlu ada satu pengakhiran kepada semua ini.

"Tanpa memperpanjangkan hujah saya, lebih molek jika disingkatkan semua ini dengan suatu ekspresi matematikal. Ingat, matematik adalah cabang keilmuan bukan? Jika ia mampu membuktikan ketiadaan Tuhan, maka perlu diterima ia sebagai fakta". Reynaldo tersenyum. Deedat menyambung.

"Untuk sesi ini, saya perlukan seorang sukarela yang pintar dalam Matematik. Siapa?"

Reynaldo mengangkat tangan. Markahnya yang paling tinggi dalam mata pelajaran Matematik, maka tiada bantahan dari jemaah penonton. Deedat tersenyum dan mengajak Reynaldo ke hadapan.

"Baiklah Reynaldo, ke mari. Sekarang, saya akan menerangkan beberapa perkara berkenaan tuhan dan matematik dan jika ada ralat dalam penerangan saya, tegur saja. Bagaimana?"

Reynaldo mengangguk. "Silakan".

Deedat langsung mengambil pen marker yang baru tadi dia letakkan di atas meja. Berdiri dia sebentar sekitar sepuluh saat, berfikir. Berfikir kalau-kalau dia masih mampu ingat benar dengan formula yang telah dia formulasikan beberapa hari lalu.

"Pertama sekali, saya ingin bertanya profesor kita...", memandang Reynaldo, "..adakah anda kenal dengan konstan 1.618?"

Reynaldo mengiya, "Tentulah. Itu adalah Nisbah Keemasan yang dirintis oleh Leonardo Di Caprio. Ada juga mengatakan ianya adalah ilmu orang yang lampau dalam membina tokong dewa-dewi mereka. 'Temple of Perseus' di Polis, Yunani contohnya. Ia juga wujud dalam hampir semua kejadian; bermula dari lingkaran kelopak ros, cengkerang nautilus sehinggalah ke nisbah dimensi lingkaran Bima Sakti. Ia juga wujud dalam model sempurna tubuh manusia, dalam muzik gubahan Mozart dan Amadeus dan pada nisbah-nisbah semula jadi lainnya".

Deedat mengambil-alih.

"Mantap. Sekarang beritahu saya- mengikut kefahaman ateistik dan empirik kamu- adakah manusia, nautilus, Bima Sakti, gubahan muzik Mozart wujud secara rawak tanpa bersangkut-paut antara satu dengan yang lain?"

Reynaldo mengangkat bahu tanda tidak tahu. Deedat tersenyum.

"Wahai kawan-kawan, sebentar tadi saya telah mendemonstrasikan bagaimana ateis akan tetap kalah dengan mana jawaban, yakni jawaban ya atau tidak. Jika Reynaldo menjawab ya, "Ya, mereka wujud berkait", kita datang dari yang Satu. Satu apa? Bukan satu titik. Kerna kita sadar dan tahu, Titik Big Bang gagasan Edwin Hubble itu adalah rawak dan tidak tersusun. Mustahil yang rawak itu menghasilkan keseragaman yang berpadu pada beberapa benda yang baru sahaja disebutkan Reynaldo tadi. Jadi, satu di sini bukanlah satu titik, tetapi satu Pencipta. Pencipta yang meletakkan 1.618 mungkin sebagai tanda hadirnya Dia dan saya kira juga sebagai identifikasi Karakter Pencipta. Samalah seperti pengeluar produk Apple yang meletakkan logo Apple pada setiap produk.

Berdehem.

"Dan jikalau dia menjawab bukan, maka kesilapan pastilah menjadi jauh lebih parah buat kepercayaan mereka. Wajib mereka- sebagai perwakilan intelektual tertinggi- menjelaskan bagaimana semua yang tidak berkaitan ini: muzik, Bima Sakti, manusia, nautilus, ros dan banyak lagi:- mempunyai suatu corak kejadian yang sama. Setakat ini, belum ditemukan resolusi kepada persoalan itu Reynaldo, dan saya suka untuk mendengarkan satu dari awak".