Tuesday, September 27, 2011

Semua Yang Ada (7)


Langit petang kelihatan merah menyala dibakar kemegahan benderang suria. Petang semakin kini terbelah dua antara merah di Barat dan biru di sebelah Timur. Sedangkan Deedat masih sibuk dengan sesi tarbiah diri di dalam bilik, membilang butir-butir tasbih seiringan dengan rentak alunan zikirnya. Sebentar tadi sebelum itu, dia melaksanakan fardhu `Asar. Zikirnya itu, alam pun seakan turut serta.

Pada dada langit, tercoret suatu makna yang hanya pengertian sendiri dapat memuaskan desakan. Memandangkan rumah banglo dua tingkat milik ibunya itu bertempat dekat dengan perairan, maka tidak sukar untuk menyaksikan gelagat burung camar mengepakkan sayapnya, balik ke sarang. Sambil memerhatikan itu, Deedat bertahmid beberapa kali. Terimbau mafhum ayat ke 19, Surah Al-Mulk:
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Langit semakin rancak bersaling tukaran warna dan skemanya, apabila Deedat ternampak seorang lelaki yang sedang berjalan menjinjing beg kertas. Pada tangan kirinya, seutas tali dan pada hujung tali itu, seekor anjing terrier yang terkedek-kedek mendahului tuannya. Reynaldo.

Dari tingkat dua itulah, dari sebalik selapisan jendela kaca itu, Deedat melambai-lambai ke arah Reynaldo sebelum berpaling ke meja belajarnya. Tasbih diletakkan di dalam laci, pintu kaca sorong; disorong.

"Reyn!! Reynn!!!", jeritnya lagi. Lambaian tangan masih sama kekerapannya; yalah, atlit, kan.

Deedat tersenyum sendirian melihat kesukaran Reynaldo mengenderai haiwan peliharaanya itu. Dia berjalan arah mana, anjingnya berjalan arah mana. Bertarik tali pula mereka. Beberapa ketika kemudian, kawalan berjaya diraih dan Reynaldo- menyedari namanya dipanggil- menggagahi juga langkah yang semakin berat melawan kelenguhan beriadah. Berat anjing terriernya menambahkan lagi kesukaran.

Deedat menuruni anak-anak tangga depan rumah yang bersambung sekali dengan pintu sorong biliknya. Pada birai tangga itu, lilitan pokok orked ungu dan indigo menghiasi. Di perkarangan, rumput halus umpama karpet terbentang sejauh tebing yang mengunjur ke tengah pentas benua, dengan deruan angin yang meniupkan setiap helaiannya. Segala yang hidup di situ, hidup subur disimbah zarah-zarah air terpecah, hasil hempasan ombak Laut Atlantik ke perbatuan di tebung dekat situ. Dekat rumah Deedat.

"Haha, rajinnya saudara kita ni beriadah. Pemain ragbilah katakan...". Deedat mengusik rakan ragbi sepasukannya itu. Baginya, Reynaldo adalah pemain ragbi remaja terhebat yang pernah dia saksikan. Dahulu, jika tidak kerana minda strategis yang sedang berdiri tercungap-cungap di hadapannya ini, sudah tentulah Westblack telah mengalahkan pasukan mereka, Southall College. 

Reynaldo kelihatan masih belum reda dengan kepenatan. Seluruh badannya berpeluh, ditambah baju yang ketat, menampakkan ketul-ketul otot seorang pemain ragbi. Anjingnya masih cuba untuk bingkas dari situ, tetapi tangannya erat menggenggam tali berwarna hitam yang menghubungkan mereka. Disentapnya perlahan, tiap kali Harry- anjing baka Amerika itu- cuba untuk membolos ketat simpulan tali.

"Duduklah, Reyn", pelawa Deedat, sambil kerusi besi ala-ala Kolonial ditarik ke belakang bagi memudahkan Reynaldo duduk. Deedat hanya berdiri melemparkan pandangan ke laut, sebelum tersedar bahawa yang disuruh duduknya tadi itu, tetamu. Apalagi rakannya. Terus bertanya,

"Hendak segelas air kah?"

Angguk. Anjing terrier Reynaldo turut menyalak. Serba-salah tiba-tiba menyerang Reynaldo.

Deedat bergerak masuk ke dalam rumah untuk mengambil segelas air pintaan Reynaldo. Bukan air biasa diambilnya, tetapi buah limau mandarin diperahnya. Dalam pada itu, dia mengerling ke sekitar ruang tamu vila itu, mencari kelibat ayahnya yang sebentar tadi sedang khusyuk menela`ah surat khabar. Bapanya itu, tiada lain yang ditatapnya melainkan perkembangan politik di tanah air mereka, Malaysia. Setiap hari ada saja perbincangan politik yang dihidangkan bersama hidangan makan malam.

Ibunya, Puan Jessica Abdollah merupakan mu`allaf dari Texas. Bukan saja cantik, tetapi kaya dan vila ini, yang diduduki mereka ini adalah milikan bapanya, yakni datuk Deedat. Tidak pernah ibunya mengungkitkan hal itu apabila mereka dalam pertengkaran. Jadi, tiada masalah dalam famili mereka.

Dalam pada itu, Reynaldo sedang asyik menikmati bayu puputan Atlantik di halaman vila dua tingkat itu. Hatinya berkira-kira dengan kekayaan dan kepopularan serta keindahan rupa paras Deedat. Apa yang tiada pada budak lelaki Melayu-Amerika ini?

Lihat sajalah vilanya. Lihat sahaja tiga kereta dan sebuah RXZ yang tersusun di dalam garaj keluarganya. Paling tidakpun, meja yang berdiri di depannya dan kerusi yang Reynaldo duduki: mewah. Namun hairan seribu kali hairan dia. Apabila di sekolah, miskinnya kalah budak yang layak dapat biasiswa itu. Pensyarah semuanya bukan tahu betapa kayanya anak muda ini.

Pintarnya lagi, usah dipersoal, membuang masa. Tiada keraguan pintar Deedat, walaupun sedikit rendah dari Reynaldo. Kemahiran beliau mengeksperimentalisasikan pantukan dalam mutlak melalui model paip campur lampu suluhnya. Semua guru Sains bertepuk tangan apabila cahaya biasa mampu Deedat bengkokkan, sebengkok 180 darjah bulatan halus.

Angin Atlantik telah membawa Reynaldo pergi jauh ke dalam dunia iri hatinya, sehingga tidak sedar dia namanya diseru berulang-kali. Hanya setelah ditepukoleh Deedat, barulah dia meresapi semula jasad. Ruh tadi sudah terbang jauh, sejauh syurga mungkin.

"Fikirkan apa, Reyn? Pasal aturan debat lagikah?"

Reynaldo tersenyum tawar dengan usikan Deedat itu, sekadar memelihara perasaan lelaki mulia ini. Sedikit demi sedikit, entah kenapa, pelik rasa atau sememangnya daya tarikan karisma beliau- Reynaldo semakin rasa suka untuk berdamping dengan Deedat. Rasa macam bersaudara.

Sekarang dia mula ragu-ragu dengan indoktrinasi ibunya yang mengatakan Islam mengajar keganasan. Berani dia katakan; Deedatlah, pada pandangannya orang terakhir sekali yang mungkin menjadi militan di sekolah mereka.

"Deedat, tidak salahkah kalau saya bawa anjing ini ke perkarangan rumah kamu?"

"Tidaklah... asal jangan sampai masuk ke rumah.", jawab Deedat sambil menghulurkan segelas jus oren. Bersama huluran itu, disertakan senyuman ikhlas yang melambangkan dalamnya persahabatan mereka. Dahulu sekelas, semasa belum berkenal, mereka tidak pernah bertegur sapa. Keduanya asyik bersaing mengejar gelaran siapakah yang lebih pintar dalam kelas mereka. 

Remaja. Itulah tahu mereka. Sematang-matang dirinya pun, ada juga sifat kecindan sebagai manusia dan baginya yang penting usaha. Teringat pula dia Surah As-Saffat, ayat 60. Tetapi setelah dialog tempoh hari, mereka berjaya menjalin persahabatan yang memang tidak pernah orang lain fikirkan. Perbezaan hitam putih dogma tidak membantutkan usaha bagi mereka untuk saling mengenali.

"Sedang berbuat apa tadi di atas?" tanyai Reynaldo, setelah mnikmati sehirup dua air tadi. Janggal benar dia melayan bunyi ombak pecah dan serak suara beburungan camar di dalam simbahan terakhir cahaya matahari. Puputan bayu laut pun gemersik semacam.

Tiba-tiba, Harry melompat ke meja, lalu pangkuan Deedat. Anjing itu pantas menjilat mukanya sekali dua. Lalu anjing itu pantas melompat ke pangkuan Reynaldo dan apalagi;

"Harry- Harry! Behave yourself!". Laju tangan memukul anjingnya, Reynaldo. Malunya dia memperlakukan tuan rumah sebegitu, sudahlah si tuan rumah Muslim. Dipukul-pukulnya kepala Harry beberapa kali lagi. 

Deedat menghalang. Dalam kejelikan rasa mengelap lekit-lekit salivary amylase anjing kacukan itu, keinsanan merajai geram. "Jangan diapa-apakan, Reyn. Anjing  kamu tu". Jemarinya masih sibuk membuang air liur mughalazzah yang masih bersisa pada helaian rambut dan rongga. Rasa jijik memang tidak dapat dibuang jauh-jauh, tetapi dalam ketidaksengajaan itu, dia lebih merisaukan anjing Reynaldo yang dipukul tuannya tanpa henti.

Setelah meredakan Reynaldo, Deedat membongkok ke bawah meja bagi mengutip gelas-gelas yang telah dijatuhkan Harry. Dalam kepalanya bermain sejuta rasa; sama ada untuk marah dan kecewa, atau sabar. Pertama kali inilah dia rasa dijilat anjing.