Tuesday, August 30, 2011

Semua Yang Ada (Bahagian 2)


Segenap bilik menjadi senyap-sunyi. Tiada kedengaran apapun, melainkan dua kipas siling yang ligat berputar di atas sekumpulan manusia yang sedang khusyuk menanti jawaban dari Reynaldo. Terdapat suatu udara serius yang sedang berkitar dalam bilik kuliah itu dan udara itu sangat mencekik. Pada wajah setiap manusia, kelihatan reneh-reneh resah yang bertukar menjadi kerut yang dalam.

Reynaldo menghela nafas panjang. Tidak disangkanya ada penghujah sehebat ini di kelasnya, kerana sebelum ini, Deedat cumalah seorang pelajar pasif yang tidak beremosi atas segala benda. Ternyata, diam-diam, rupanya dia naga yang sedang tidur.

Dan sekarang ia sudah berjaga.

"Boleh saya teruskan, Reyn?", tanyai Deedat yang berhenti sekejap demi menghormati proses pertimbangan Reynaldo. Meskipun ini pertama kali dia berbahas dengan seorang ateis secara bersemuka, namun selok-belok penghujahan golongan zindiq ini, sudah dia kenal benar. Di Internet, beliau menggunakan nama pena 'Ablus Sabil' dan tiada siapa yang mengetahui perihal ini.

Pernah disiarkan kisah penghujah maya yang agung bernama Ablus Sabil di jazirah Arab setahun dalam sebuah slot berita antarabangsa di televisyen. Menurut pengacara dalam program itu, Ablus Sabil kini sedang dalam pencarian kerana ingin diberikan penghormatan atas sumbangannya secara halimunan, tetapi sangat mengimpak kepada komuniti Islam di seluruh dunia.

Deedat tidak dapat juga melupakan betapa bahagianya beliau apabila berjaya membisukan tokoh maya ateistik seperti Ibnu Waqqas dan Steve Marfouer daripada terus-menerus membantah ketidakwujudan Tuhan. Pengakuan Ibnu Waqqas yang menemui jalan buntu dalam menerangkan ketulenan cinta menyebabkan dia mengalirkan air mata keinsafan. Meskipun status Ibnu Waqqas kini tidak diketahui, tapi Deedat dapat merasakan akan terjadi transformasi besar kepada hidup Ibnu Waqqas. Ibnu Waqqas merupakan seorang pencari kebenaran yang ikhlas, yang bermula dari sifar.

Masakan juga dia dapat lupa apabila kumpulan penggodam nasional Malaysia, 'The Anonymous' dan 'Gaysec'cuba membongkar identiti sebenarnya dan berakhir gagal apabila Deedat meminta konsultasi penggodam wanita Akhbour dari Pakistan. Pelbagai lagi cara digunakan manusia untuk menyelongkar rahsia 'Ablus Sabil' tu; di mana; kesemuanya lebur jadi reja.

"Deedat, lekaslah bentangkan hujahmu. Takut-takut pensyarah datang, terbantut pula", kedengaran jeritan dari kalangan mereka yang berkumpul membulati tiga manusia empat manusia penghujah ini. Ada suara latar saling berbalas bisikan, mungkin cuba meneka babak seterusnya.

"Baiklah.. kita menyambung perbincangan kita. Sebentar tadi saudara Reynaldo ada mengatakan bahawa jika kewujudan Allah tidak mustahil kerana tidak mempunyai bukti, maka kewujudan Pegasus pun yang tidak punya bukti tidak mustahil. Pada pembentangan pertama, saya telah mengatakan bahawa ada kewujudan-kewujudan yang tidak memerlukan pembuktian empirikal dan ianya tetap saja wujud. Tiada analogi yang empirikal sebenarnya dalam menggapai maksud hujjah ini. Yang paling dekat adalah analogi kepada ini adalah apabila anda menemukan sebuah kereta di tengah padang pasir. Mustahil untuk akal menerima kewujudannya di tengah padang pasir tanpa pencipta dan pemandu. Meskipun tanpa bukti, minda kita tetap tidak menolak kewujudan pencipta dan pemandu tadi. Sekarang, mari saya demonstrasikan bagaimana bahawa, justifikasi lingkungan logik yang membezakan dengan benar-benar Pegasus dan Allah SWT"

Menarik nafas dan berdehem.

"Sebelum itu, saya bertanya kamu, Reynaldo. Bagaimana rupa, bentuk dan saiz Pegasus yang kamu katakan wujud itu? Bagaimana pula rupa, bentuk dan saiz Allah SWT menurut kajian anda selama bertahun-tahun?". Ada nada menyindir ketika Deedat menyebut klausa "kajian anda selama bertahun-tahun". Reynaldo hanya mampu tersenyum ketika mendengarkan itu.

Reynaldo yang sedari tadi mendengar, bangkit. Entah bila sudah berapa lama dia duduk, dia tidak perasan. Mungkin terkagum dengan hujah Deedat yang baru pertama kali didengarinya. Untuk menjawab persoalan yang baharu saja dipertanya Deedat, Reynaldo berfikir sebentar.

"Seperti yang kita tahu, Pegasus itu sudah tentulah berupa kuda, bersayap dan punyai tanduk di kepala. Berwarna putih. Allah SWT pula, menurut pengalaman saya adalah suatu kewujudan yang berasaskan klaim semata-mata. Ianya tidak wujud atas alasan tidak punya bukti...". Berhenti, melihat sekeliling lalu menyambung, "Tetapi mendengarkan hujah wujud tanpa bukti awak, saya tidak menolak wujudnya Dia".

Jujur saja Reynaldo memberikan jawapan itu. Deedat pula tersenyum kerana Reynaldo tidak segagah yang dia sangka pada awalnya. Dia tahu Reynaldo tidaklah sedungu itu untuk tidak memahami bahawa apa-apapun yang mempunyai rupa, bentuk dan saiz- pokoknya dimensi- termasuk dalam lingkungan logik dan bebanan empirikal. Apabila dikatakannya kedapatan suatu kuda bertanduk dan berwarna putih di angkasa lepas,  maka, sudah tentulah ia perlukan bukti: kenapa kuda? Kenapa putih? Kenapa bertanduk? Semua ini perlukan bukti pengklaiman. Deedat menyambung,

Sedangkan Allah SWT tidak punya rupa, saiz dan bentuk yang bisa menuntut bukti empirikal. Penyebutan sifat fizikNya dan Surah Ar Rahmaan ayat ke-27 itupun, Reynaldo mungkin tidak punya masalah untuk memahamkan bahawa ianya berupa penerangan umum. Tidak perlukan pembuktian. Kalau ditanyakan pun, Deedat tidak terkesan. Dia mengadopsi penterjemahan ulama Khalafiy yang mengatakan ayat mutasyaabihat itu merujuk kepada keagungan Allah SWT.

(bersambung)