Showing posts with label dunia. Show all posts
Showing posts with label dunia. Show all posts

Tuesday, October 18, 2011

Indahnya Kematian (Bahagian I: Panggilan), Khalil Gibran

Lord Byron di perbaringan, saat jemari sakratul maut meragut kesedaran beliau.

Biarkan aku terbaring dalam lelapku, kerana jiwa ini telah dirasuki cinta, dan biarkan daku istirahat, kerana batin ini memiliki segala kekayaan malam dan siang.
Nyalakan lilin-lilin dan bakarlah dupa nan mewangi di sekeliling ranjang ini, dan taburi tubuh ini dengan wangian melati serta mawar.
Minyakilah rambut ini dengan puspa dupa dan olesi kaki-kaki ini dengan wangian, dan bacalah isyarat kematian yang telah tertulis jelas di dahi ini.
Biarku istirahat di ranjang ini, kerana kedua bola mata ini telah teramat lelahnya;
Biar sajak-sajak bersalut perak bergetaran dan menyejukkan jiwaku;
Terbangkan dawai-dawai harpa dan singkapkan tabir lara hatiku.
Nyanyikanlah masa-masa lalu seperti engkau memandang fajar harapan dalam mataku, kerana makna ghaibnya begitu lembut bagai ranjang kapas tempat hatiku berbaring.
Hapuslah air matamu, saudaraku, dan tegakkanlah kepalamu seperti bunga-bunga menyemai jari-jemarinya menyambut mahkota fajar  pagi.
Lihatlah Kematian berdiri bagai kolom-kolom  cahaya antara ranjangku dengan jarak infiniti;
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya.
Dekatilah aku, dan ucapkanlah selamat tinggal buatku. Ciumlah mataku dengan seulas senyummu.
Biarkan anak-anak merentang tangan-tangan mungilnya buatku dengan kelembutan jemari merah jambu mereka;
Biarkanlah Masa meletakkan tangan lembutnya di dahiku dan memberkatiku;
Biarkanlah perawan-perawan mendekati dan melihat bayangan Tuhan dalam mataku, dan mendengar Gema Iradat-Nya berlarian dengan nafasku….

Wednesday, October 12, 2011

Karma Yang Didamba

Adi memecut sekuat yang dia mampu, meredah kedinginan malam yang semakin pekat gelapnya. Jalan raya yang dilaluinya sunyi tanpa hiruk-pikuk yang biasanya menenggelamkan jiwa-jiwa manusia dengan kesesakan dan pencemaran. Sudah lima minit Adi menekan pedal minyak semaksima mungkin. Sekali-sekala, ditolehnya belakang. Risau jika ada yang mengejarnya.

Setelah sampai di suatu simpang, dia pantas memutar hendal ke kanan. Motorsikal bertukar arah, membelok pantas. Sebelum lama, disedari suatu limpahan cahaya mengenai dia dan motorsikalnya. Dan...
... 
"Berita terkini. Seorang wanita telah ditemui mati di Lorong OKK Abu Bakar, Tawau, oleh sekumpulan remaja yang melintas di kawasan terbabit. Mangsa yang dikenali sebagai Faridah Omar, 56 tahun, mati dengan keadaan yang mengerikan. 
Inspektor Superintenden Omar Hj. Hadi berkata, melalui kamera litar yang tersembunyi di kawasan tersebut, didapati mangsa mati setelah cuba mempertahankan dirinya dari serangan seorang peragut yang meragutnya di sini. Dia yang dipercayai baharu balik dari habis berniaga kuih-muih cuba sedaya-upaya menarik balik tas tangan warna merahnya yang berisi wang hasil jualan. 
Disebabkan keadaan terlalu gelap, polis tidak dapat mengecam wajah peragut. Siasatan masih lagi dijalankan."
...
"Berita terkini. Seorang lelaki menemui ajalnya setelah motorsikal yang ditunggangnya, dirempuh oleh sebuah lori dari arah yang bertentangan. Mangsa yang dikenali sebagai Adi bin Rosli, 23 tahun, dikatakan membelok secara tiba-tiba pada simpang tiga di Jalan Megah Jaya, Tawau. 
Mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan yang mengerikan. Pihak forensik dan ambulans terpaksa mengutip cebisan daging mangsa yang bertaburan di jalanraya. Turut ditemui di kawasan berkenaan adalah seutas beg tangan berwarna merah."
...
Karma. Sesekali, keberlakuannya melegakan.

Monday, October 10, 2011

Kusindir Sains

Dahulu, terdapat suatu era di mana t = 0, yakni Era Planck di mana hanya ada kuantum dan selainnya tiada. 13.5 bilion tahun dahulu, sebuah letupan telah terjadi di dalam sebuah bekas 'kekosongan'.  Ironisnya, letupan ini tidak memusnah, bahkan memulakan penghidupan alam semesta. Dari letupan itu, ribuan hukum-hakam mengatur setiap jasad yang berada dalam radius letupan. Peraturan Hund, Peraturan Pengasingan Pauli dan Peraturan Aufbau menyusun elektron menjadi unusr yang mengikut masa, semakin berat. Hukum Keabadian Tenaga mengekalkan magnitud tenaga, manakala Hukum Relativiti Umum mengatur proses salingtukar tenaga ke jirim, jirim ke tenaga. Hukum Heisenberg turut memainkan peranan

Dimulai dengan kewujudan atom hidrogen, berkembang menjadi helium, litium, berilium, boron, karbon dan diakhiri  dengan terbaru, ununseptium. Bagaimana beratpun, bagaimana besarpun dan bagaimana cantikpun atom ini, semuanya 'taat' kepada suatu hukum. Tiada atom yang wujud tanpa menuruti hukum Kimia bertiga.

Lalu dari hukum ini, kejadian yang lebih kompleks berlaku. Meskipun menentang undang-undang termodinamik ketiga, entropi; saintis masih berkeras bahawa kehidupan wujud melalui kerawakan kimia. Percubaan demi percubaan, mereka gagal untuk mengambil-alih peranan Mencipta Tuhan, bahkan ini membuatkan mereka kelihatan lucu. 

Demi menafikan kewujudan Khaliq, mereka melanggar Hukum Abiogenesis, Hukum Kestereoisomeran di bawah isomerisme optik secara kiral. Mereka menentang hukum 'survival of the fittest'. Dan paling jahil; mereka menafikan naluri ingin bertuhan. Charles Darwin, Bapa Teori Evolusi yang diberitakan ateis, pernah berkata dalam autobiografinya, di bawah subtopik 'Kepercayaan Beragama':
"When thus reflecting I feel compelled to look to a First Cause having an intelligent mind in some degree analogous to that of man; and I deserve to be called a Theist."
Nah, mahu tahu bukti kerawakan semesta itu?










Aku tidak tahu bagaimana kamu boleh mengatakan semua ini sebagai hasil kerawakan.




(credit: www.NatureWallpaper.NET, natgeo.com, google.com)

Saturday, October 8, 2011

Demi Profesionalisme

Pada 27 Julai 1994, seorang lelaki memandu ke Sungai Braamfontein Spruit, berdekatan dengan Pusat Lapangan dan Kajian. Di situlah semasa kecilnya, lelaki ini selalu bermain. Segala yang ada di situ menjadi saksi kepada permulaan hidup dan kehidupannya. Namun kini, tapak itulah juga saksi pemergiannya. Dengan menyumbat gas monoksida ke dalam kereta, dia membunuh diri. Sekeping nota ditinggalkan:

"Aku sedih... tanpa telefon... duit untuk sewa... duit untuk membantu kanak-kanak... duit untuk hutang... duit!!!... aku dihantui dengan kejelasan memori pembunuhan dan mayat dan kemarahan dan kesakitan... dengan kanak-kanak yang kebuluran dan terluka, dengan orang-orang gila, selalunya polis, dengan pelaksana pembunuhan... aku telah pergi menyerati Ken, jika aku bertuah..."
Inilah orang itu. Namanya adalah Kevin Carter, seorang pemenang anugerah Pulitzer; anugerah kewartawanan darjah tertinggi dalam jurnalisme. Kematiannya merupakan antara kes bunuh diri paling mengejutkan dunia. Melalui memo bunuh diri, diterikan bahawa punca beliau membunuh diri adalah kerana kesukaran ekonomi.

Tidak. Punca beliau membunuh diri adalah rasa bersalah. 

Pada suatu hari daripada hari-hari rutinnya di Sudan, ketika dia bersiar-siar mencari santapan untuk kameranya, sebuah pemandangan mencubit pangkal profesionalisme beliau. Misterius dan estetik dengan cara yang mengerikan pemandangan yang terhidang di depan mata. 

Pada horizon, kelihatan seorang kanak-kanak yang sudah lama merangkak dengan dua kaki dan dua tangannya sedang berehat. Destinasinya adalah pusat pembahagian makanan yang jauhnya kira-kira sekilometer dari situ, untuk meraih simpati. Terasa dirinya dibebani harapan yang tinggi menggunung, melihatkan jasad yang gelap dibakar matahari bongkok ke bumi memanggil semangat untuk terus hidup. 

Dicarinya sudut yang sesuai, sebelum punat kamera menangkap gambar kemanusiaan terpopular dalam seni fotografi kontemporari. Setelah mengambil shot terbabit, Kevin bergegas pergi dari situ.

Pada 26 Mac 1993, gambar itu tersiar dalam koran 'New York Times'. Sekejap saja, ratusan panggilan diterima oleh pihak penerbit koran terbabit, menanyakan nasib budak yang ada di dalam gambar, yang sepertinya sebentar lagi akan disiat-siat kulitnya oleh si burung nasar yang menjadi latar gambar.

Berhadapan Kevin diburu rasa bersalah; takut, cemas dan kegusaran. Demi mengejar profesionalisme, beliau lupa untuk menghantar kanak-kanak tadi ke destinasi. Adakah dia sudah mati diratah si nasar? Atau tersalah jalankah? Mungkinkah dia ditembak golongan militan, atau mati kehausan dipertengahan jalan. Atas segala persoalan ini, Kevin Carter membunuh dirinya. 

Menebus dosa. Mengambil-alih derita kanak-kanak tadi.


Wednesday, October 5, 2011

Semua Yang Ada (10)



Pintu bilik disiplin terkuak. Reynaldo keluar dari bukaan itu, sambil menguraikan gulungan bajunya yang disinsingnya sebelum bertempur dengan Mika`il tadi. Ditutupnya balik pintu. Dalam pada itu, kelihatan Deedat berjalan menghampirinya dengan tiga jilid buku terjinjing kemas dalam genggamannya. Reynaldo sempat mengilas pandangan pada judul buku sebelum disapa oleh Deedat. Ada 'Antropologi Iman', 'Aku Ingin Kembali' dan 'Sains Politik Islam'. Yang ketiga adalah karangan seorang ilmuwan Islam Malaysia, Rumaizuddin Ghazali. Reynaldo pernah membacanya.

"Salaam, Reynaldo." Tersenyum. Ah, senyuman iman.

"Sama ke atas kamu. Hendak ke mana?", balas Reynaldo. Deedat mengunjukkan tiga jilid buku yang dijinjingnya kepada Reynaldo. Si ateis tidak faham dengan isyarat itu.

"Hah?"

"Hendak memulangkan buku di pusat sumberlah. Buku ini belum cukup data dan statistiknya."

"Data? Statistik? Untuk apa? Buat apa?"

"Alaa, esok pembentangan syarahan semester, kan? Itulah, tidur masa kuliah Madam Carla. Sekarang tengok, baru mahu bertanya."

Reynaldo tersengih. Alah, siapa tidak kenal dengan kehebatan Madam Carla dan eliksir tidurnya. Bersyarah seumpama menyanyikan lagu 'Impression of The West Lake' gubahan Kitaro Matsuri, dendangan Jane Zhang. Asal sahaja beliau bersuara, akal terus tumpul. Entahlah, sama ada kerana ketidak ikhlasannya ataupun memang malangnya dilahirkan demikian, Reynaldo tidak pasti. Namun yang pasti, cuma kepala Deedat sajalah yang tegak menghadap Madam Carla semasa kelas beliau. 

"Yalah, saya patut kurangkan tabiat jahat tu", jelas Reynaldo. Deedat tersenyum.

Fikiran Reynaldo dalam pada itu terbang hinggap pada peribadi Madam Carla, pensyarah Sains Sosial mereka. Orangnya berdarah Ireland kacukan Inggeris, maka tidak sukar untuk membayangkan wajahnya yang sentiasa tersenyum dan anggun terhias dengan calitan gincu merah di bibirnya yang sudah berkedut digarisi masa. Seutas kalung mutiara sentiasa tergantung di leher, jam tangan kulit berbingkai emas di pergelangan. Rambutnya putih, suka berbusana kasual dengan padanan skirt separas lutut. Orangnya nampak sangat sederhana, jika dibandingkan dengan kemewahannya sebagai seorang wanita yang bersuamikan diplomat Britain. 

Di kelas, beliau tidak pernah pula mengeluh. Kuliah akan tetap diteruskan walau bagaimana kucar-kacirpun kelas. Dengan pelajar melayani Internet, bunyi telefon berderingan dan bisikan-bisikan sang kekasih sekelas; beliau tidak ambil kisah. Asal beliau nampak Deedat menumpukan perhatiannya, maka semua jadi baik. Dunia ketika itu, seperi hanya ada mereka berdua, bertentangan.

"Hey, Reynaldo O'Hara! Jauh termenung... teringat Anastasialah tu" usik Deedat, sebelum pergi kepada hal yang lebih serius, bertanya, "Ini... kau ke mana tadi, tidak masuk kelas?"

Tersenyum dengan usikan Deedat, dan tersengih lagi, kali ini dengan sengih benci dengaan pertanyaan Deedat. Bukan dengan hakikat soalan, tetapi dengan jawapan kepada persoalan itu. Mendengus dengan penuh rasa bagus saat mengingati keangkuhan Mika`il mencabar dia bertarung. Akhirnya yang terjelepok, dia juga. Dan nasib baik jugalah Mika`il tidak menyeru anak buahnya untuk mengintervensi. Reynaldo sedar, dalam jahat-jahatnya, Mika`il masih ada maruah.

"Hmph! Si Mika`il itulah. Dibawanya bertarung tendang pukul, akhirnya dia yang tersembam."

"Jadi, mana dia?"

"Di dalam", sambil mengunjuk pintu bekas tempatnya keluar tadi. "...sedang berhadapan Mr Buchanan."

"Berdarah?". Reynaldo mengangguk tidak. "Cuba cerita..."

Muka Deedat serius mendengarkan butiran pertarungan yang diceritakan oleh Reynaldo. Pada beberapa ketika, keningnya akan melengkung ke bawah dan ada ketikanya, ternganga. Epik pergaduhan mereka.

Sebenarnya, bukan Reynaldo seorang saja yang membenci lelaki itu, Deedat turut sama. Masih dia ingat lagi ditumbuk oleh lelaki berbadan sasa itu. Salahnya bukanlah besar mana, sekadar menegur dia untuk tidak bersikap agresif dengan para pembuli. Kes terbaru, Andre Jackson Jr., parah berdarah dihambat paip besi oleh anak-anak buah Mika`il setelah didapati membuli seorang budak ambilan terbaru di dalam stor Pendidikan Jasmani. 

Deedat menghela nafas kesal. Muslim seperti Mika`il inilah yang menjadi pencetus sentimen Islamofobia di kolej ini. Alasan Mika`il mudah; ingin menegakkan keadilan. Ingin melaksanakan hukum-hakam Islam katanya. Sedangkan dalam Islam, masyarakat mana ada daulah untuk menegakkan judisiari. Itu tanggungjawab pihak pemerintah. Masalah kalau menjustifikasikan perbuatan pada niat semata, inilah.

"...begitulah. Akhirnya, saya tangkap lengannya, dan bawa dia ke bilik disiplin. Anak buahnya entah ke mana semua. Hilang masa Mike tengah berpukul dengan saya."

Deedat menghela, sekali lagi. Manusia yang lalu-lalang seakan bayangan berwarna yang melintasi dirinya perlahan. Fikirannya masih tertancap pada peristiwa yang dialami Reynaldo tadi. Apakah Mika`il tiada perasaan? Apakah di fikirannya saat melampiaskan amarah ke atas si lelaki ateis yang sedang berdiri di hadapannya ini? Tidakkah dia memikirkan konsekuensi tindakannya ke atas tanggapan agama Islam?

"Deedat!"

Sungai manusia dan kemanusiaan semakin deras mengalir. Beserta kederasan itu, mulut-mulut berlawanan nada, berlawanan kata. Ada yang sedang membincangkan isu pensyarah, ada yang sedang berbual pasal kematian Steve Jobs si pereka Apple, dan ada juga suara-suara kecil yang sedang menyebut-nyebut nama Deedat, saat melihat hujjatul Islam itu berdiri di hadapan bilik disiplin. Peminatnya, mungkin.

"Muhammad Syariff Deedat bin Al-Ibrar!!!"

Deedat pantas memusing-musingkan kepalanya mencari punca suara yang menyebut keras namanya. Apabila dia kembali memandang depan, baru dia tersenyum. Reynaldo dengan kerutan berbaur dengan senyuman. Dan ketawa kecil.

"Kau baikkah, Deedat? Saya memanggil namamu berulangan kali- tiga kali, kau boleh tidak dengar. Siap menoleh ke belakang lagi..."

"Maaf, maaf...", ucap Deedat dengan senyuman geli hati, sebelum bertukar kepada wajah serius. Wajah penuh kerunsingan. Reynaldo mengesani perbezaan itu.

"Kawan... kalau kau punya masalah, beritahu saja. Saya..", mendepangkan tangan, "...saya sudi membantu."

"Entahlah, Reynaldo. Biarkanlah saja... saya fikirkan sendiri"

"Tidak apa, awak cer-"

"Saya kata tidak apa... ini masalah umat saya, jadi biar saya selesaikan sendiri. Sekarang ini, kamu sudah makan atau belum, ini yang penting."

Reynaldo kekaguman. Anak mata redup Deedat yang bersinar melimpahkan suatu kesyahduan yang memerangkap. Sungguh penghormatan yang Deedat berikan kepada pegangannya jauh melangkaui keteguhan Reynaldo dalam berpegang kepada pemikiran ateistiknya. Ditambah pula perdebatan tempoh hari, dan dedahan kemuliaan serta karisma religius Deedat yang semakin mengelap luntur 'iman' Reynaldo, dia sudah tidak tahu berapa lama lagi mampu mempertahankan dogma ini.

Giliran Deedat pula melaungkan nama Reynaldo. 

"Reynaldo O'Hara!!! Saya tanyalah, kamu sudahkah belum, atau makan? Kalau belum, mari ikut saya...",pelawa Deedat. Senyuman dilontar lagi. Senyuman yang menghempas pada perbatuan jiwa non-religius Reynaldo. Rasa bahagia dia apabila diperlakukan begitu. Membalas senyuman.

Merekapun berjalan ke kafetaria yang terletak di sebelah barat, mengikut pelan bangunan. Tiba-tiba,

"Uhm, Deedat... ". Reynaldo yang berjalan mengekori Deedat, yang baru saja memanggil nama lelaki itu, memegang bahu Deedat. Mereka berjeda seketika, apabila Deedat menoleh kehairanan.

"Apa, Reyn?", tanya Deedat. Reynaldo menunduki ke bawah, matanya ke bawah. Pada kasut kulit yang sedang dia pakai. Takut dia berhadapan dengan sepasang mata itu.

"Urmm... pasal kejadian anjing saya Harry di rumah awak kelmarin, saya meminta maaf, ya?"

Deedat tanpa banyak masa diambil, mengangguk sambil tersenyum. Dia kembali kepada berjalan, diikuti Reynaldo yang sedang berkira-kira dengan perbandingan ayahnya pasal umat Islam. Nampaknya teroris tidak sesuai dijudulkan pada si Muslim Deedat.

Atau sekurang-kurangnya buat masa ini.

Trieste, Bulan & Ironis Zindagi

Anak Adam adalah makhluk terkuat dan paling menghampiri darjat Tuhan, atas alasan bahawa mereka punya akal dan nafsu. Berkehendak meskipun terbatas. Begitulah juga menurut Mujaddid Al-Maududi yang berkata bahawa manusia adalah hamba Tuhan, dan penguasa alam selepasn-Nya. Sayangnya, mereka ini mudah lupa. Bukanlah barang melupakan persiapan ke langit, mahupun lupa akan segala pemeliharaan hak serta kepentingan, tetapi lupa akan tanah yang belum terjejak belum dijejaki. Malah ada hati ingin ke langit. Trieste, sebagai contoh.

-Misi Yang Tidak Tersiar

200 batu di luar pesisiran pantai Pulau Pasifik Guam, dua lelaki menaiki dek 'bathyscaphe' Trieste milikan Tentera Laut Amerika Syarikat. Trieste merupakan kenderaan pelik yang direka berbentuk sfera untuk tugasan ekstrim. Direka sedemikian untuk menahan tekanan Pascal margin. Misi bertarikh 23 Januari 1960.

Jurukawal 'bathyscaphe' Jacques Piccard, adalah anak kepada prodigi genius, Auguste Picccard. Auguste ironisnya adalah pereka paten 'bathyscaphe' itu sendiri dan jika selaman ini berjaya, sama seperti ayahnya; dia akan melakar sejarah sendiri. Jurukawal 'bathyscaphe' Trieste yang kedua adalah Don Walsh, Leftenan muda dalam Ketenteraan Laut Amerika Syarikat dan pegawai kapal selam. Seperlima dekad sebelum itu, beliau jugalah yang mengepalai pelaksanaan projek Navy rahsia, mereka menggelarnya Projek Nekto.

Projek ini berjaya. Selaman sedalam 7 batu ke Terencah Mariana itu merupakan pencapaian kapal selam teragung sepanjang sejarah pembinaannya. Apalagi pereka ciptanya adalah bapa kepada pelakar sejarah. Semenjak itu, tiada lagi penyelaman sedalam itu. Jacques Piccard dan Don Walsh merupakan satu-satunya kumpulan manusia yang pernah pergi sedalam itu.

-Misi Yang Tersiar

Sembilan tahun selepas itu, satu lagi projek mega Amerika Syarikat dilaksanakan dengan jayanya. Tepat pada Julai 20, 1969, 20:17:39 UTC, Neil Armstrong yang baru keluar dari kapal angkasa Apollo 8 menjejakkan kakinya ke bulan dan melafazkan sebuah kata-kata yang memantul ke seluruh dinding langit; kehebatannya, maksud anak Adam yang sedang menulis. Dalam sejarah perlumbaan teknologi astronomi dan kosmologi penduduk Bumi, inilah kecemerlangan yang bersifat katalitik. 

Neil Armstrong ketika mencetak debu Bulan dengan telapak kasu bergarisnya berkata, "One small step for a man, one giant leap for humanity". Seluruh dunia meletakkan mata dan jiwa mereka pada projek ini. Penduduk Amerika khususnya, yang diketahui terlalu bersifat patriotik. 100 juta manusia.

Selepas itu, puluhan lagi projek pendaratan ke bulan dilancarkan oleh pelbagai negara. Jepun, Britain dan Rusia adalah antara yang berjaya meletakkan nama dalam senarai terbilang itu. Pelancaran bagi pendaratan ke bulan terakhir adalah pada Disember 7, 1972 yang disertai Komander  Eugene Cernan, Juruterbang Modul Arahan Ronald Evans, and Juruterbang Modul Bulan Harrison Schmitt dengan Apollo 17.

Ironis, bukan?

Terdapat sedozen pengembaraan ke luar langit; ingin mencapai kaki syurga, sedang dunia sendiri belumpun habis diterokai. Analogi kepada manusia; diri-sendiripun belum khatam ta`arufnya, inginkan pula Syurga. 

Wednesday, September 28, 2011

Menyindir Pemimpin (Persona: Laskar Amerika)


Beg disandang,
Senjata dijulang,
Panji dipegang,
Semangat digendang,
Berarak ke medan berdebu,
Berkawad ke padang sejarah,
Membahu janji kepada negara,
Menuhankan kapitalisme semata.  
Topi disarung,
Ves pun dipekung,
Kebanggaan didukung,
Ego disanjung,
Nasionalisme diagung.
Tandu kedaulatan manusia, kelembutannya; dipijak.
Habis buncah di bawah telapak.
Habis musnah dihenjak, dilanyak. 
Atas konon, namanya pendirian hak. Jangan risau, negaraku, inilah Doktrin Powell kita (menangis; tidak pasti airmata sedihkah, gembira).

Monday, September 26, 2011

Angin & Mentari

"Berhabuknya bandar metropolitan ini, sangat berhabuk. Kalau dipusing pandangan ke mana-mana arah, pasti akan terlihat selapisan jerebu coklat nipis. Bernafaspun sukar, mata perlu sentiasa dipelihara, kan Wen?"

"Wen, kenapa berdiam? Saya bercakap sedari tadi dengan awak". Allen mengeluh. Perangai teman lelakinya sudah berubah. Tiada sudah keriangan seperti mana dia mengurat Allen dulu. Keriangan itulah yang memanggil hati Allen untuk mencuba pekerti Wen, dan natijahnya jatuh cinta.

"Allen, kamu sayangkan saya, kan?" respon Wen, perlahan.

Bunyi kereta berdesingan. Tayar-tayar yang bergeser dengan lantai jalan raya, menerbitkan bau getah terbakar. Ada seorang lelaki Eropah berjanggut coklat dan botak kepalanya sedang berdiri di hadapan papan tanda dengan muka bingung. Kehangatan matahari terus-terusan menjilat kota metropolitan Kuala Lumpur. Ada suatu kesenyapan misterius yang sedang mengikat kedua manusia interkontinental itu. Wen dan Allen.

Allen menarik tangan Wen ke sebuah bangunan, dan pergi ke belakang bangunan itu. Di situ gelap, cahaya mataharipun kurang. Tong sampah berwarna hijau dan kepal-kepal surat khabar kelihatan tidak sistematik diuruskan. 

Tiba-tiba, Allen menolak Wen, condong lelaki itu pada dinding. Pantas saja Allen meletakkan bibirnya pada bibir Wen- Wen lantas menolak tubuh Allen. Mata hijau Kaukasia Allen langsung tidak menggodanya. 

"Allen, awak tidak pernah serius dengan perhubungan ini!". Berjalan pantas keluar dari lorong itu dengan air mata. Lelaki jarang menangis, hanya pertama kali itulah Allen melihat seorang lelaki menangis.

"Wen, tunggu.. tunggu!!"

Allen berlari ke arah Wen. Rambut blondenya beralun dan berkilau disapa mentari dan ditegur sang angin. Cintanya pada lelaki Asia ini sudah sangat tinggi, setinggi Gunung Reiner yang sangat dia rindui di Amerika sana. 

Mendapat saja Wen, Allen menarik kedua belah tangan Wen dan menghadapnya. 

"Kalau saya tidak serius, kenapa sanggup saya berhijrah ke sini?"

Soalan itu bukanlah jawaban untuk soalan Wen mula-mula tadi. Mata keduanya sudah saling berkaca, di khalayak itu sebuah telenovela sedang berlangsung. Allen tidak kisah pandangan manusia sudah, sedang Wen memikirkan Pandangan Tuhannya. Semua ini perlu bertitik di sini.

"Masuk Islam, ya?"

Allen mengeluh. Diikuti Wen. Sudahpun bertitik.

Sunday, September 25, 2011

Kejanggalan Rutin

"Setiap hari hidup mesti begini dan begitu. Ke sana ke mari, tiada henti. Jedanya berwaktu, tidak boleh suka-suka", bisik hati Sukyee. Jelas suaminya pun kepenatan dan karam dalam keempukan katil mereka. Esok, perkara sama akan berulang.

Friday, September 23, 2011

Keberhasilan

Titik akhir kejadian adalah kemusnahan. Tiada siapa tahu bilakah akan musnah semua ini. Sama ada kita masih dalam proses pembuatan, atau sedang menuju ke arah destinasi pemusnahan, itupun kita tidak tahu.

Namun, janganlah dibiarkan titik itu sekadar kekosongan dengan rasa nadir dalam hati. Berikan makna kepada semuanya, di sepanjang perjalanan, agar benderang titik itu, ternganga jadi lubang ke kehidupan yang satu lagi.




Itupun, kalau percayalah. Kamu?