Showing posts with label persoalan. Show all posts
Showing posts with label persoalan. Show all posts

Monday, October 10, 2011

Kusindir Sains

Dahulu, terdapat suatu era di mana t = 0, yakni Era Planck di mana hanya ada kuantum dan selainnya tiada. 13.5 bilion tahun dahulu, sebuah letupan telah terjadi di dalam sebuah bekas 'kekosongan'.  Ironisnya, letupan ini tidak memusnah, bahkan memulakan penghidupan alam semesta. Dari letupan itu, ribuan hukum-hakam mengatur setiap jasad yang berada dalam radius letupan. Peraturan Hund, Peraturan Pengasingan Pauli dan Peraturan Aufbau menyusun elektron menjadi unusr yang mengikut masa, semakin berat. Hukum Keabadian Tenaga mengekalkan magnitud tenaga, manakala Hukum Relativiti Umum mengatur proses salingtukar tenaga ke jirim, jirim ke tenaga. Hukum Heisenberg turut memainkan peranan

Dimulai dengan kewujudan atom hidrogen, berkembang menjadi helium, litium, berilium, boron, karbon dan diakhiri  dengan terbaru, ununseptium. Bagaimana beratpun, bagaimana besarpun dan bagaimana cantikpun atom ini, semuanya 'taat' kepada suatu hukum. Tiada atom yang wujud tanpa menuruti hukum Kimia bertiga.

Lalu dari hukum ini, kejadian yang lebih kompleks berlaku. Meskipun menentang undang-undang termodinamik ketiga, entropi; saintis masih berkeras bahawa kehidupan wujud melalui kerawakan kimia. Percubaan demi percubaan, mereka gagal untuk mengambil-alih peranan Mencipta Tuhan, bahkan ini membuatkan mereka kelihatan lucu. 

Demi menafikan kewujudan Khaliq, mereka melanggar Hukum Abiogenesis, Hukum Kestereoisomeran di bawah isomerisme optik secara kiral. Mereka menentang hukum 'survival of the fittest'. Dan paling jahil; mereka menafikan naluri ingin bertuhan. Charles Darwin, Bapa Teori Evolusi yang diberitakan ateis, pernah berkata dalam autobiografinya, di bawah subtopik 'Kepercayaan Beragama':
"When thus reflecting I feel compelled to look to a First Cause having an intelligent mind in some degree analogous to that of man; and I deserve to be called a Theist."
Nah, mahu tahu bukti kerawakan semesta itu?










Aku tidak tahu bagaimana kamu boleh mengatakan semua ini sebagai hasil kerawakan.




(credit: www.NatureWallpaper.NET, natgeo.com, google.com)

Wednesday, October 5, 2011

Trieste, Bulan & Ironis Zindagi

Anak Adam adalah makhluk terkuat dan paling menghampiri darjat Tuhan, atas alasan bahawa mereka punya akal dan nafsu. Berkehendak meskipun terbatas. Begitulah juga menurut Mujaddid Al-Maududi yang berkata bahawa manusia adalah hamba Tuhan, dan penguasa alam selepasn-Nya. Sayangnya, mereka ini mudah lupa. Bukanlah barang melupakan persiapan ke langit, mahupun lupa akan segala pemeliharaan hak serta kepentingan, tetapi lupa akan tanah yang belum terjejak belum dijejaki. Malah ada hati ingin ke langit. Trieste, sebagai contoh.

-Misi Yang Tidak Tersiar

200 batu di luar pesisiran pantai Pulau Pasifik Guam, dua lelaki menaiki dek 'bathyscaphe' Trieste milikan Tentera Laut Amerika Syarikat. Trieste merupakan kenderaan pelik yang direka berbentuk sfera untuk tugasan ekstrim. Direka sedemikian untuk menahan tekanan Pascal margin. Misi bertarikh 23 Januari 1960.

Jurukawal 'bathyscaphe' Jacques Piccard, adalah anak kepada prodigi genius, Auguste Picccard. Auguste ironisnya adalah pereka paten 'bathyscaphe' itu sendiri dan jika selaman ini berjaya, sama seperti ayahnya; dia akan melakar sejarah sendiri. Jurukawal 'bathyscaphe' Trieste yang kedua adalah Don Walsh, Leftenan muda dalam Ketenteraan Laut Amerika Syarikat dan pegawai kapal selam. Seperlima dekad sebelum itu, beliau jugalah yang mengepalai pelaksanaan projek Navy rahsia, mereka menggelarnya Projek Nekto.

Projek ini berjaya. Selaman sedalam 7 batu ke Terencah Mariana itu merupakan pencapaian kapal selam teragung sepanjang sejarah pembinaannya. Apalagi pereka ciptanya adalah bapa kepada pelakar sejarah. Semenjak itu, tiada lagi penyelaman sedalam itu. Jacques Piccard dan Don Walsh merupakan satu-satunya kumpulan manusia yang pernah pergi sedalam itu.

-Misi Yang Tersiar

Sembilan tahun selepas itu, satu lagi projek mega Amerika Syarikat dilaksanakan dengan jayanya. Tepat pada Julai 20, 1969, 20:17:39 UTC, Neil Armstrong yang baru keluar dari kapal angkasa Apollo 8 menjejakkan kakinya ke bulan dan melafazkan sebuah kata-kata yang memantul ke seluruh dinding langit; kehebatannya, maksud anak Adam yang sedang menulis. Dalam sejarah perlumbaan teknologi astronomi dan kosmologi penduduk Bumi, inilah kecemerlangan yang bersifat katalitik. 

Neil Armstrong ketika mencetak debu Bulan dengan telapak kasu bergarisnya berkata, "One small step for a man, one giant leap for humanity". Seluruh dunia meletakkan mata dan jiwa mereka pada projek ini. Penduduk Amerika khususnya, yang diketahui terlalu bersifat patriotik. 100 juta manusia.

Selepas itu, puluhan lagi projek pendaratan ke bulan dilancarkan oleh pelbagai negara. Jepun, Britain dan Rusia adalah antara yang berjaya meletakkan nama dalam senarai terbilang itu. Pelancaran bagi pendaratan ke bulan terakhir adalah pada Disember 7, 1972 yang disertai Komander  Eugene Cernan, Juruterbang Modul Arahan Ronald Evans, and Juruterbang Modul Bulan Harrison Schmitt dengan Apollo 17.

Ironis, bukan?

Terdapat sedozen pengembaraan ke luar langit; ingin mencapai kaki syurga, sedang dunia sendiri belumpun habis diterokai. Analogi kepada manusia; diri-sendiripun belum khatam ta`arufnya, inginkan pula Syurga. 

Sunday, September 25, 2011

Kejanggalan Rutin

"Setiap hari hidup mesti begini dan begitu. Ke sana ke mari, tiada henti. Jedanya berwaktu, tidak boleh suka-suka", bisik hati Sukyee. Jelas suaminya pun kepenatan dan karam dalam keempukan katil mereka. Esok, perkara sama akan berulang.

Saturday, September 17, 2011

Kolektif

Satu atribut anak Adam yang paling menonjol adalah pluralistik dalam hampir segala perkara. Dirujuk, Dr Imarah menyebutnya sebagai sine de qua non kejadian alam, yang mengunjuk akan betapa Satunya Pencipta. Tiadalah mungkin disebut Tuhan itu Esa- dan dihayati maksud itu- melainkan dengan memiliki pengalaman hidup dalam suasana pluralistik.

Hidup sebagai makhluk yang pelbagai bangsa, anak Adam tiada yang dua samanya. Sesetengah pula ditakdirkan untuk melangkau dengan lebih jauh dalam menterjemahkan maksud kepelbagaian yakni melalui kepelbagaian peribadi dan pensifatan diri.

Masalahnya, hampir semua dari kita tidak menggunakan alasan untuk saling menghargai dan berkasih-sayang antara satu dengan yang lain, melainkan dengan angkuhnya berkata, “Aku lebih benar, maka aku lebih layak hidup”.



Pergi neraka anak Adam yang berkata demikian.

Semua Yang Ada (Bahagian 5)

Di kafeteria maktab. Reynaldo mempersilakan Deedat untuk duduk di sebelah beliau. Kerusi itu sejak tadi dikosongkan bagi membuka semula pentas perbincangan yang tertunda sebentar tadi gara-gara Mr Balachandran-pensyarah Antropologi mereka- masuk memenuhkan kelas. Beliau sajalah yang terajin antara banyak-banyak pensyarah.

"Reynaldo, sudah berapa lama awak tidak percaya?". Deedat yang sedang mengambil tempat sambil menghirup melalui straw air sirap limau memainkan peranan pula sebagai pemula. Panas terik mentari menyebabkan dia berkerut dalam menahan ketajaman bilah bahang yang menerpa ke muka. Dan atas alasan itu jugalah, dia membeli segelas air sirap limau itu.

"Entahlah, sejak saya kecil lagi. Saya selesa untuk hidup begini; tanpa agama sekali gus tanpa peraturan. Peraturan humanis dan moralis yang saya ikuti."

Reynaldo tertunduk-tunduk ketika mengucapkan itu. Tidak berani dia menentang kesyahduan sinar mata Deedat yang subur dengan iman. Titis-titis air yang ternyahwap pada gelas Deedat, itu yang ditatapnya.

"Reyn, cuba kamu lihat jalan raya itu..."

"Kenapa? Apa ada padanya?"

"Kamu nampak tidak undang-undang sedang menggenangi setiap incinya?"

"Adakah kamu menyindir?", respon Deedat, pantas.

"Adakah kamu tersindir?". Tersenyum.

"Reyn, ada banyak benda di dunia ini yang kita tahu ralat dan secara eksperimentalnya tidak wujud, namun kita patuh kepada keabstrakan perkara tersebut."

Menghela nafas. Bernafas dalam kehangatan hari sebegini sangat membakar.

"Sekularis itu, dan humanis itu pembohong jika mereka mengatakan mereka tidak punya iman. Mereka beriman sebenarnya kepada kelestarian manusia tanpa Tuhan, meskipun kelestarian itu sendiri terlontar jauh dari sudut eksperimentalisme."

Reynaldo mengangkat sedikit pandangan. Aset kebijaksanaan Deedat sangat mengganggu dia.

Tuesday, September 13, 2011

Pertuduhan Yang Memesong

Apabila engkau tidak menemukan suatu titik yang dikehendaki, itu tidak membatalkan kewujudan titik tadi. Tidak juga mengesahkan beradaannya. Apabila kautak temukan ia, itu bermaksud pencarian perlu lebih bersungguh-sungguh dan konklusi perlu dibumikan agar tidak terbang pada jawaban yang tidak-tidak. Dan jangan lari dari parameter.

Tidak menemukan, sekurang-kurangnya engkau sudah mengerah diri untuk mencari. Proses pencarian itulah eksodus rahmat buatmu. Semoga Tuhan membukakan jalan untuk anak Adam sepertimu.

Ke syurga adalah melalui wadah ruhani yang aktif dan sentiasa liar mencari dan bukan warisan tradisi. Agama bukan tradisi, bahkan kesedaran.

Monday, August 29, 2011

Datang Dan Pergi

Salah satu sunnatullah alam yang perlu anak Adam tahu adalah, semuanya akan datang dan pergi. Semua yang kita lihat dan saksikan, yang kita nikmati dan yang tersisih lantaran dibenci; semuanya tidak akan kekal bahkan pergi. Seakan kepergian itu sebahagian dari program kewujudan.

Lantas, anak Adam sentiasa bertanya: adakah ini suatu 'conditio sine qua non'  alam? Adakah dengan kesedaran ini, tersembunyi maksud dan makna penghidupan? Atas alasan inilah- dan dikira tanpa alasan lain- anak Adam mencari Tuhan. Dan Maha Penyayang Allah, diturunkanNya suhuf, tabut dan risalah, kitab-kitab serta wahi lisanan agar manusia sentiasa betul pencariannya.

Bila anak Adam kurang selesa dengan pewahyuan yang menyesakkan segala nafsu mereka, jiwa dipaling mencari resolusi lainnya. Mulalah pada detik ini, menyalahkan Tuhan kerna tidak menunjuk jalan. Bukan bodoh anak Adam sebegini, mereka cumalah tidak bersyukur. Sebab itulah `ulama ada yang mengatakan kafir hakikat terus menjurus kafir nikmat. Tidak pandai menghargai.

Tulisan yang ini lebih jauh dari keingkaran. 'Maaf'kan saya, wahai `asi. Dan selamat hari raya Aidul Fitri.

Saturday, August 27, 2011

Allah Wujud Bilaa Makan


Seorang mukmin-atas-pagar berdoa setiap malam, "Tuhan, kalau Engkau benar ada, turunlah ke Bumi. Buktikan pada kami akan wujudMu. Tunjukkan kepada kami bahawa iman kami ini bukan sia-sia, Tuhan...". Si bapa hanya mendengar dan membiarkan, tidak pernah mengimamkan. Dia sendiripun belum pernah menyaksikan Tuhan, apalagi untuk percaya.

Hinanya manusia ini. Sudah diciptakan, malah isyaan. Malahan memberontak sehingga ke pintu Syurga, menuntut hak empirik mereka. Hinanya kita ini, bukti-bukti wujud Dia kita endahkan, malahan meminta penjelmaan.

Wahai anak Adam, jika Dia tunjukkan diriNya kepadamu, maka apakah lagi nikmat yang tinggal untuk kautatap di Jannat nanti?