Showing posts with label sedar. Show all posts
Showing posts with label sedar. Show all posts

Tuesday, October 18, 2011

Indahnya Kematian (Bahagian I: Panggilan), Khalil Gibran

Lord Byron di perbaringan, saat jemari sakratul maut meragut kesedaran beliau.

Biarkan aku terbaring dalam lelapku, kerana jiwa ini telah dirasuki cinta, dan biarkan daku istirahat, kerana batin ini memiliki segala kekayaan malam dan siang.
Nyalakan lilin-lilin dan bakarlah dupa nan mewangi di sekeliling ranjang ini, dan taburi tubuh ini dengan wangian melati serta mawar.
Minyakilah rambut ini dengan puspa dupa dan olesi kaki-kaki ini dengan wangian, dan bacalah isyarat kematian yang telah tertulis jelas di dahi ini.
Biarku istirahat di ranjang ini, kerana kedua bola mata ini telah teramat lelahnya;
Biar sajak-sajak bersalut perak bergetaran dan menyejukkan jiwaku;
Terbangkan dawai-dawai harpa dan singkapkan tabir lara hatiku.
Nyanyikanlah masa-masa lalu seperti engkau memandang fajar harapan dalam mataku, kerana makna ghaibnya begitu lembut bagai ranjang kapas tempat hatiku berbaring.
Hapuslah air matamu, saudaraku, dan tegakkanlah kepalamu seperti bunga-bunga menyemai jari-jemarinya menyambut mahkota fajar  pagi.
Lihatlah Kematian berdiri bagai kolom-kolom  cahaya antara ranjangku dengan jarak infiniti;
Tahanlah nafasmu dan dengarkan kibaran kepak sayap-sayapnya.
Dekatilah aku, dan ucapkanlah selamat tinggal buatku. Ciumlah mataku dengan seulas senyummu.
Biarkan anak-anak merentang tangan-tangan mungilnya buatku dengan kelembutan jemari merah jambu mereka;
Biarkanlah Masa meletakkan tangan lembutnya di dahiku dan memberkatiku;
Biarkanlah perawan-perawan mendekati dan melihat bayangan Tuhan dalam mataku, dan mendengar Gema Iradat-Nya berlarian dengan nafasku….

Monday, October 10, 2011

Kusindir Sains

Dahulu, terdapat suatu era di mana t = 0, yakni Era Planck di mana hanya ada kuantum dan selainnya tiada. 13.5 bilion tahun dahulu, sebuah letupan telah terjadi di dalam sebuah bekas 'kekosongan'.  Ironisnya, letupan ini tidak memusnah, bahkan memulakan penghidupan alam semesta. Dari letupan itu, ribuan hukum-hakam mengatur setiap jasad yang berada dalam radius letupan. Peraturan Hund, Peraturan Pengasingan Pauli dan Peraturan Aufbau menyusun elektron menjadi unusr yang mengikut masa, semakin berat. Hukum Keabadian Tenaga mengekalkan magnitud tenaga, manakala Hukum Relativiti Umum mengatur proses salingtukar tenaga ke jirim, jirim ke tenaga. Hukum Heisenberg turut memainkan peranan

Dimulai dengan kewujudan atom hidrogen, berkembang menjadi helium, litium, berilium, boron, karbon dan diakhiri  dengan terbaru, ununseptium. Bagaimana beratpun, bagaimana besarpun dan bagaimana cantikpun atom ini, semuanya 'taat' kepada suatu hukum. Tiada atom yang wujud tanpa menuruti hukum Kimia bertiga.

Lalu dari hukum ini, kejadian yang lebih kompleks berlaku. Meskipun menentang undang-undang termodinamik ketiga, entropi; saintis masih berkeras bahawa kehidupan wujud melalui kerawakan kimia. Percubaan demi percubaan, mereka gagal untuk mengambil-alih peranan Mencipta Tuhan, bahkan ini membuatkan mereka kelihatan lucu. 

Demi menafikan kewujudan Khaliq, mereka melanggar Hukum Abiogenesis, Hukum Kestereoisomeran di bawah isomerisme optik secara kiral. Mereka menentang hukum 'survival of the fittest'. Dan paling jahil; mereka menafikan naluri ingin bertuhan. Charles Darwin, Bapa Teori Evolusi yang diberitakan ateis, pernah berkata dalam autobiografinya, di bawah subtopik 'Kepercayaan Beragama':
"When thus reflecting I feel compelled to look to a First Cause having an intelligent mind in some degree analogous to that of man; and I deserve to be called a Theist."
Nah, mahu tahu bukti kerawakan semesta itu?










Aku tidak tahu bagaimana kamu boleh mengatakan semua ini sebagai hasil kerawakan.




(credit: www.NatureWallpaper.NET, natgeo.com, google.com)

Wednesday, September 28, 2011

Petikan Rambang: Saintis

"Saintis itu, mereka jarang menemukan bahagian sains yang baharu. Mereka lebih ramai yang menemui kombinasi baharu bahagian sains purba" 
-J. Janousse. 28 September 2011.

Menyindir Pemimpin (Persona: Laskar Amerika)


Beg disandang,
Senjata dijulang,
Panji dipegang,
Semangat digendang,
Berarak ke medan berdebu,
Berkawad ke padang sejarah,
Membahu janji kepada negara,
Menuhankan kapitalisme semata.  
Topi disarung,
Ves pun dipekung,
Kebanggaan didukung,
Ego disanjung,
Nasionalisme diagung.
Tandu kedaulatan manusia, kelembutannya; dipijak.
Habis buncah di bawah telapak.
Habis musnah dihenjak, dilanyak. 
Atas konon, namanya pendirian hak. Jangan risau, negaraku, inilah Doktrin Powell kita (menangis; tidak pasti airmata sedihkah, gembira).

Saturday, September 24, 2011

Keindahan & Tarian

Dunia ini rupanya indah, meskipun dalam kegelapan, keindahan masih memancarkan. Kecantikan adalah emanasi rahmat, menurut Allahyarham Frijthof Schuon. Dan keindahan itu, seumpama sebaris lirik mahupun sealunan irama, atau paling kurang sekilas senyuman setelah penat seharian mengejar kekayaan. Kapitalisme, sebagaimana hebatpun ianya, tidak mampu memadamkan titik-titik cahaya yang menerangi langit merah manusiawi.

Ada keadaan di mana kita perlu akur dengan keindahan dan mengusir jauh-jauh rasa ego. Untuk menjadi diri-sendiri. Meskipun, ianya jauh lebih menyakitkan. Itu perlu.

Keindahan itu, iramanya rancak. Tarinya mungkin sesuatu seperti twist yang lemah, namun mampu mengundang sebaris muka riang. Keindahan itu sangat memaknakan hidup. Menarilah, jika ingin menari. Luasnya hamparan bumi ini adalah untuk kita mengembara maksud diri-sendiri. Menarilah bersama rama-rama, atau bersama bilah-bilah sinar mentari.

Friday, September 23, 2011

Keberhasilan

Titik akhir kejadian adalah kemusnahan. Tiada siapa tahu bilakah akan musnah semua ini. Sama ada kita masih dalam proses pembuatan, atau sedang menuju ke arah destinasi pemusnahan, itupun kita tidak tahu.

Namun, janganlah dibiarkan titik itu sekadar kekosongan dengan rasa nadir dalam hati. Berikan makna kepada semuanya, di sepanjang perjalanan, agar benderang titik itu, ternganga jadi lubang ke kehidupan yang satu lagi.




Itupun, kalau percayalah. Kamu?

Monday, September 19, 2011

Anak Adam

Manusia lebih banyak betulnyan dari salah. Manusia, jiwa mereka terlalu tepu dengan keinginan dan cita-cita akhirat sehingga tiada ruang untuk iman mengairi hati tandus. Pokok amalanpun melayu digigit bahang nafsu. 
Namun manusia jiwanya kental. Sangat kental sehinggakan titis wahyu kadangkala tidak menjadi pemicu limpahan aras pemikiran yang baru. Anak Adam yang meletakkan kesedaran melebihi kehendak dan di bawah keperluan memenuhi lahiriah. 
-ekstrak idea Syeikh Akbar Muhyiddin Ibnu `Arabi, 'Jalan Selamat Menuju Allah'

Sunday, September 18, 2011

Anti Nihilis

Tidak dapat dibayangkan segala apa yang berdiri di depan mata sekarang ini akan buncah menjadi debu-debu tanpa makna.

Tidak dapat ditanggapi akal seluruh apa yang berenang di laut dan merangkak di langit akan musnah bergelimpangan.

Tidak dapat diterangkan setiap yang berhidup hari ini akan dikumpulkan semula setelah mati masing-masing datang.

Tidak dapat difikirkan segenap kejahatan dan kebaikan akan dihitung dan dikira demi menentukan destinasi seterusnya.


Jika satu  zarah logik untuk berada pada dua tempat pada semasa, maka pasti Tuhan ada benarnya. Pasti pula--Dia yang Maha Kuasa--tidak boleh dipersoalkan autoritasNya.

Saturday, September 17, 2011

Kolektif

Satu atribut anak Adam yang paling menonjol adalah pluralistik dalam hampir segala perkara. Dirujuk, Dr Imarah menyebutnya sebagai sine de qua non kejadian alam, yang mengunjuk akan betapa Satunya Pencipta. Tiadalah mungkin disebut Tuhan itu Esa- dan dihayati maksud itu- melainkan dengan memiliki pengalaman hidup dalam suasana pluralistik.

Hidup sebagai makhluk yang pelbagai bangsa, anak Adam tiada yang dua samanya. Sesetengah pula ditakdirkan untuk melangkau dengan lebih jauh dalam menterjemahkan maksud kepelbagaian yakni melalui kepelbagaian peribadi dan pensifatan diri.

Masalahnya, hampir semua dari kita tidak menggunakan alasan untuk saling menghargai dan berkasih-sayang antara satu dengan yang lain, melainkan dengan angkuhnya berkata, “Aku lebih benar, maka aku lebih layak hidup”.



Pergi neraka anak Adam yang berkata demikian.

Monday, August 29, 2011

Datang Dan Pergi

Salah satu sunnatullah alam yang perlu anak Adam tahu adalah, semuanya akan datang dan pergi. Semua yang kita lihat dan saksikan, yang kita nikmati dan yang tersisih lantaran dibenci; semuanya tidak akan kekal bahkan pergi. Seakan kepergian itu sebahagian dari program kewujudan.

Lantas, anak Adam sentiasa bertanya: adakah ini suatu 'conditio sine qua non'  alam? Adakah dengan kesedaran ini, tersembunyi maksud dan makna penghidupan? Atas alasan inilah- dan dikira tanpa alasan lain- anak Adam mencari Tuhan. Dan Maha Penyayang Allah, diturunkanNya suhuf, tabut dan risalah, kitab-kitab serta wahi lisanan agar manusia sentiasa betul pencariannya.

Bila anak Adam kurang selesa dengan pewahyuan yang menyesakkan segala nafsu mereka, jiwa dipaling mencari resolusi lainnya. Mulalah pada detik ini, menyalahkan Tuhan kerna tidak menunjuk jalan. Bukan bodoh anak Adam sebegini, mereka cumalah tidak bersyukur. Sebab itulah `ulama ada yang mengatakan kafir hakikat terus menjurus kafir nikmat. Tidak pandai menghargai.

Tulisan yang ini lebih jauh dari keingkaran. 'Maaf'kan saya, wahai `asi. Dan selamat hari raya Aidul Fitri.

Thursday, August 25, 2011

Semua Yang Ada (Bahagian 1)

Reynaldo menolak kaca matanya yang berbingkai hijau gelap. Nampaknya anak mufti ini- Isabella- senang diperdaya, melihat dari kegugupannya mencari jawaban berbaur ateistik yang baru saja Reynaldo utarakan.

"Kalau ada Tuhan, apakah buktinya?"

Isabella mula gugup menyelak helai demi helai kitab yang dipegangnya. Jemarinya sejuk dan panas dalam ketika yang sama, berkeringat, menggeletar dan tercabar. Jantung mulai berdegub kencang, sedang wajah kiai yang maulana yang mendidik imannya datang silih berganti, menyesakkan fikiran yang sememangnya sudah ketat dengan keraguan demi keraguan yang dipersembahkan Reynaldo: si lelaki ateis yang sangat berpengaruh. Blognya saja sudah mencapai ribuan pembaca, entah berapa orang sudah yang berjaya beliau 'neutral'kan dogma mereka.

"Awak tidak akan jumpa di dalam kitab buruk itu. Kitab yang korup dengan kesadisan Tuhan dan perintahNya. Tidak akan..."

Isabella semakin rancak meneliti helai demi helai kitab Tuhan itu. Matanya semakin laju mengesani dalil yang mungkin dapat menjawab persoalan Reynaldo. Kalau dia Kristian tadi, sudah tentulah dijawabnya, tuhan di tiang salib. Tapi bukan:- bukan itu jawabannya.

Dan Caleb datang. Dia yang sedari tadi memerhati mulai memandang serius perdebatan yang sedang berlaku lantaran ketiadaan pensyarah itu. Mula tadi, dia cuma dengar perbincangan antar-dogma tapi nampaknya perbualan sudah mencapai titik ambang intervensi yang perlu. Islam sedang dicabar. Sebagai pejuang agama, Caleb bangkit dan mendekati Isabella yang bertudung labuh biru laut itu. Ditanyanya:

"Ada apa ini?". Isabella tidak mendengar. Terlalu tekun pada pencariannya dalam mendapatkan jawaban. Caleb mengulangi soalan tiga kali. Hanya pada kali ketiga, Reynaldo yang menjawab,

"Aku menyuruhnya untuk memberikanku jawaban: apa bukti Tuhan. Nampaknya kata-kata Tuhan yang dipegangnya itu tidak mampu menjawab". Responnya itu berbaur sinis dan menghina.

Caleb tunduk, lalu menarik nafas. Matanya ditutup rapat-rapat, dan nafas masih dihembus dan ditarik, silih berganti. Di dalam mindanya terbayang Al-Qur'an yang diselak sehelai demi sehelai. Sehinggalah dia menemukan Surah ke-112, yakni Surahtul Ikhlas. Ditadarusnya surah itu, mengejutkan ahli kelas yang lain. Selepas itu, mafhum dibaca kuat:
"Katakanlah: Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."
Seluruh kelas terkesima dengan bacaan Caleb, apatah lagi dengan mafhum surah itu Kelas yang tadinya hingar-bingar menjadi tenang. Semua mata mulai menatap wajah tiga orang yang sedang berdiskusi itu. Perbincangan yang tadinya dianggap ringan kini menjadi subjek pemerhatian mata-mata inkuisitif.

"Inilah yang kami Muslim, percaya. Tuhan tiada bertempat dan tidak pula dengan itu, tidak wujud. Tuhan wujud pada keadaan yang kita tidak akan pernah dapat bayangkan. Sebab itulah kami berani mengatakan bahawa Tuhan itu EsaNya mutlak."

Reynaldo menjeda sebentar, memikirkan logik jawaban yang diberikan Caleb tadi. Bapanya mendidiknya untuk sentiasa tenang dan objektif dalam menilai postulasi orang lain. Kerna postulasi bisa membawa ubah, jika disalah baca. Untuk itu, beliau berhati-hati. Tidak mahu dia jadi macam Anastasia yang memeluk Islam minggu lepas lantaran kalah dibidas Isabella. Anastasia baginya, mulhid yang tidak profesional.

Kaca matanya ditolak sekali lagi ke atas. Dia mahu bersuara, tetapi suaranya tersekat di halkum. Jawaban yang diberi mesti bertujuan memerangkap dua orang mukmin yang sedang merenung kerna itulah tujuan ateis; membebaskan orang lain dari bebanan ibadah. Ibadah baginya adalah bebanan halimunan yang dicipta orang dulu-dulu untuk mendapat nama. Tidak dibacanya penulisan Ibnu Ishaq, 'Sirah Nabawiy' yang mengisahkan detik-detik derita yang dilalui Rasulullah SAWS untuk menyebarkan syi`ar Islam.

Reynaldo bolehlah dikatakan suatu baka ateis yang baik. Nilai ketidakpercayaan yang ibu bapanya inkorporasikan dalam dirinya sudah beku melekat pada hempedu hati. Insaninya kini sudah tepu dengan kemungkaran terhadap Tuhan, dan setiap hari dalam blognya; ada saja pemanifestasian ilhad yang dia buat dalam bentuk tulisan.

Seperti bapanya, beliau merupakan pengagum Paul Jean Sartre, Jacques Jean Rosseau dan Hassan Bourgouiba. Antara tiga ini, paling diagungkannya adalah Hassan Bourgouiba. Dalam penulisan Kirk H. Sowell, 'The Arab World', Hassan Bourgouiba diterangkan sebagai lelaki yang berani melupuskan ibadat puasa di negara yang beliau perintah yakni Tunisia, demi memacu ekonomi negara itu. Reynaldo kagum dengan bagaimana beliau dengan lantang menentang poligami atas dasar persamaan taraf jantina.

"Apa balasanmu?", tanya Caleb. Sudah lama dia menunggu mulut Reynaldo untuk memperkatakan sesuatu.

"Ohh, untuk dalilmu itu, saya ingin bertanya suatu lagi soalan; jikalau kamu tidak tahu bagaimana rupa Tuhan dan di mana Dia, mengapa lantang kamu menjustifikasikan Dia wujud? Sedangkan perkara yang sama boleh saya lakukan untuk menjustifikasikan kewujudan Pegasus. Kamu percaya tidak, akan wujud Pegasus?"

Isabella dan Caleb menggeleng serentak.

"Maka jika begitu, kenapa harus saya percaya justifikasi prima facie kamu? Untuk saya mempercayai kamu, kamu pun perlu menerima hujah saya."

Isabella dan Caleb menunduk diam. Reynaldo dalam pada itu tersenyum puas. Nampaknya, dua orang lagi bakal menyertai armada ilhadnya. Tambahan pula, Isabella anak sang mufti, tambah terhormatlah dia. Ibu bapanya tentu bangga.

 Tiba-tiba, seorang lelaki berkulit sawo matang berdiri. Diangkatnya tangan tanda ingin mencelah. Deedat juga seorang penghujah, namun dalam laam maya sahaja. Reynaldo menghentikan senyumannya.

"Ada apa-apa yang ingin ditambah?", tanyanya. Deedat mengangguk perlahan dengan senyuman penuh ikhlas.

"Sebenarnya justifikasi Pegasus kamu itu tidak bertepatan dengan justifikasi Allah dalam Islam. Oleh itu, pelayanan terhadap keduanya mesti berbeza. Allah tidak punya bentuk logik, dan tidak pula punya bertempat. Allahul wujud bilaa makan!", sentap Deedat, sebelum menyambung;

"Pada pemahaman saya sebagai Islam amatur, Allah SWT tidak mempunyai rupa yang logik dan waras. Dalam erti kata lain, Allah itu wujudnya tidak logik! Tetapi itu tidak menafikan wujudNya, sekadar ingin saya tekankan bahawa Allah wujud tanpa manusia ada keupayaan untuk meneka rupaNya. Sedangkan Pegasus mempunyai bentuk serta dimensi, dan inilah yang menuntut bukti kewujudan Pegasus."

Bertepuk kelas yang majoritinya Muslim. Reynaldo kebingungan sekejap dan kemudian bertanya jujur,

"Saya tidak faham, Deedat. Terangkan dari mula."

"Baiklah", jawab Deedat. Tidak disangka, akhirnya ilmu yang selama ini dia pelajari bakal diuji. Sebelum bermula, dibacanya Surah An-Naas. Menghela nafas dan langsung menerangkan;

"Dalam falsafah, suatu kewujudan tidak semestinya menuntut bukti empirikal. 'Burden of proof', atau bebanan bukti hanya dituntut apabila suatu kewujudan itu mempunyai dimensi empirikal. Yalah, kan kewujudan mengklaim bahawa ianya punya bentuk, maka wajib ia untuk membuktikan kewujudan bentuknya itu. Dapat?"

Reynaldo mengangguk. "Teruskan,".

"Dalam konstitusi semesta ini, terdapat beberapa kewujudan yang tidak ada bukti dan tidak memerlukannya untuk diiktiraf sebagai suatu kewujudan. Justifikasi ini adalah menurut pemahaman saya, dan atas hujah ini, adalah logik untuk sesuatu untuk wujud tanpa bukti prima facie. Dalam perkataan lain, kewujudan-kewujudan ini adalak logik untuk berdiri tanpa kelogikan. Mengejutkan pula, hujah ini tidak punya pertentangan dengan sains."

"Antara contoh kewujudan tanpa bebanan bukti adalah akal, ideologi, perasaan, kemungkinan, dan ketiadaan Mustahil dapat dibuktikan semua ini secara empirik, bukan?"

Mengangguk Reynaldo. "Mungkin betul. Lagi, lagi...". Sambil mempelawa Deedat untuk meneruskan, tangannya lancar mencatat sesuatu.

"Untuk lebih menguatkan bukti ini, saya petik jawaban seorang ateis yang pernah saya debati, yakni Steve Marfouer. Ketika saya meminta bukti kewujudan pencetus alam semesta, dia menjawab, saya petik: "Ada beberapa perkara yang tidak memerlukan bukti". Saya tempelak dia dengan jawaban itu. Dia menghina ateisme! Kalau ada kejadian atau kewujudan yang tidak memerlukan bukti, maka mengapa pula wajib bagi Tuhan- Pencipta semua- untuk mempunyai bukti?"

Seluruh kelas semakin fokus.


(bersambung..)

Yang Kutahu

Yang kutahu bukanlah yang bernilai, kerna ianya cuma suatu pengertian personal.
Yang kukejar, dengan itulah aku patut dinilai;
Yang kutinggalkan, biarkan ianya pergi cipta sejarah baru.

Yang menumpahkan air mata, aku simpan sebagai rujukan, kerna ianya bisa jadi cerminan akan datang.
Yang kuhampar, dengan itulah aku patut menyemai;
Duka, kubiarkan ia agar jadi baja kalbu.

Yang mereja, biarlah jadi sejarah. Dan yang bakal mereja, kita ubah destininya.