Showing posts with label keluhan. Show all posts
Showing posts with label keluhan. Show all posts

Monday, October 10, 2011

Kusindir Sains

Dahulu, terdapat suatu era di mana t = 0, yakni Era Planck di mana hanya ada kuantum dan selainnya tiada. 13.5 bilion tahun dahulu, sebuah letupan telah terjadi di dalam sebuah bekas 'kekosongan'.  Ironisnya, letupan ini tidak memusnah, bahkan memulakan penghidupan alam semesta. Dari letupan itu, ribuan hukum-hakam mengatur setiap jasad yang berada dalam radius letupan. Peraturan Hund, Peraturan Pengasingan Pauli dan Peraturan Aufbau menyusun elektron menjadi unusr yang mengikut masa, semakin berat. Hukum Keabadian Tenaga mengekalkan magnitud tenaga, manakala Hukum Relativiti Umum mengatur proses salingtukar tenaga ke jirim, jirim ke tenaga. Hukum Heisenberg turut memainkan peranan

Dimulai dengan kewujudan atom hidrogen, berkembang menjadi helium, litium, berilium, boron, karbon dan diakhiri  dengan terbaru, ununseptium. Bagaimana beratpun, bagaimana besarpun dan bagaimana cantikpun atom ini, semuanya 'taat' kepada suatu hukum. Tiada atom yang wujud tanpa menuruti hukum Kimia bertiga.

Lalu dari hukum ini, kejadian yang lebih kompleks berlaku. Meskipun menentang undang-undang termodinamik ketiga, entropi; saintis masih berkeras bahawa kehidupan wujud melalui kerawakan kimia. Percubaan demi percubaan, mereka gagal untuk mengambil-alih peranan Mencipta Tuhan, bahkan ini membuatkan mereka kelihatan lucu. 

Demi menafikan kewujudan Khaliq, mereka melanggar Hukum Abiogenesis, Hukum Kestereoisomeran di bawah isomerisme optik secara kiral. Mereka menentang hukum 'survival of the fittest'. Dan paling jahil; mereka menafikan naluri ingin bertuhan. Charles Darwin, Bapa Teori Evolusi yang diberitakan ateis, pernah berkata dalam autobiografinya, di bawah subtopik 'Kepercayaan Beragama':
"When thus reflecting I feel compelled to look to a First Cause having an intelligent mind in some degree analogous to that of man; and I deserve to be called a Theist."
Nah, mahu tahu bukti kerawakan semesta itu?










Aku tidak tahu bagaimana kamu boleh mengatakan semua ini sebagai hasil kerawakan.




(credit: www.NatureWallpaper.NET, natgeo.com, google.com)

Friday, September 30, 2011

Semua Yang Ada (8)

Qushairy hanya mampu menutup telinga dan memejamkan mata saat melintasi kumpulan geng Mika`il yang juga musuh tradisinya itu. Sebenarnya, bukan dialah yang mencita permusuhan itu, dan dia sangat teringin berkawan dengan ahli kumpulan itu. Tetapi perbuatan mereka yang suka melaga-lagakan dagu serta bahu manusia, dan sikap 'double standard' mereka bertentangan dengan prinsip Qushairy. Memandangkan dia baru lepas berpisah dari kumpulan itu, maka segala jenis tohmahan dan fitnah akan hinggap sebagai balasan pembelotan, sebaik melintasi mereka. Itulah risikonya setiap hari ke kelas. Jika tidak dipukul, maka sudah kira baiklah.

Suasana pagi di kolej itu lebih tenang dari biasa. Embun dan kabus yang baru sahaja beranjak, memberi ruang kepada cahaya mentari untuk menjajah segenap inci kolej itu. Begitupun matahari memanca sinar, kepanasan belum cukup untuk menghalau dingin pagi daerah Southall itu.

Di hadapan kolej, puluhan kenderaan beratur, bersusun. Kesejukan di sanapun, belum usai. Masih jauh sebelum terungkai pelukan dingin kota metropolitan ini. Kesejukan seakan bertarik-tali dengan hangat mentari, menuntut hak yang bukan haknya. Pagi adalah untuk matahari, malam untuk kedinginan; ini aturan. Namun, setiap pagi begitulah, tiada mahu belajar.

Sesejuk-sejuk Southall, entah mengapa, amaun keringat Qushairy semakin bertambah. Basah kolar bajunya. Dan masa yang diambil untuk lepas dari pandangan kumpulan jelek itu seperti keabadian meniti Titian As-Sirat. Terasa sungguh lama. Para pelajar lainnya sedang asyik dengan rutin mereka- tidak tahu pula jika ada yang punya sama rasa kengerian dengan Mika`il.

"Heyy, lihat siapa di depan kita sekarang.. PEMBELOTT!" bentak Mika`il kepada Qushairy sebaik saja mata berpedang. Pengikutnya yang bersandar pada loker bangun pada posisi lurus, bagai kader diterjah sang jenderal. Di udara, ada pertunjukan perlawanan pedang sedang bertemasha, yang hanya disedari mereka berdua. Pengalaman menjadi bekas gengster menyebabkan Qushairy sedikit selesa dengan suasana itu.

"Hey pembelot, pandang aku!"

Qushairy pandang Mika`il. Mika`il cuba menentang karisma mata bekas ketuanya itu. Seakan gagal.

"Apa? Apa lagi perkara yang kaulupa uruskan dengan aku?"

Mika`il terkejut dengan respon berani Qushairy, umpama harakiri. Langsung dia memberikan isyarat supaya ahli kumpulannya mengelilingi lelaki berkulit sawo matang itu dengan menaikkan dua jarinya ke udara.  Qushairy, walaupun semakin rancak dibasahi keringat, tidak bergetar sedikitpun. Dialah antara pengasas kumpulan itu, dan dia sedar kesetiaan ahli kumpulan itu melebihi kesetiaan mereka terhadap Mika`il.

Namun tidak. Dia tidak mahu lagi bergantung dengan belas ihsan anak buahnya. Kumpulan itu sudah membawa banyak titik hitam pada hidup Qushairy. Dan pada kehidupan pelajar lain. Dia akan berdiri atas kaki sendiri, kali ini. Apa nak jadipun, jadilah. Dia sudah tidak mahu berkompromi dengan konsep bawaan Mika`il itu.

Ya dulu, semasa mula mendirikan kumpulan itu, tujuannya hanyalah untuk menjadi pembela kepada golongan pelajar yang dibuli. Meskipun tiada punya sijil dan pengiktirafan kolej, malah diburu, keberkesanan kumpulan itu dalam menegakkan keadilan yang sepatutnya tidak dinafikan golongan pensyarah. Malah, ada sebahagian daripada barisan pensyarah yang menyokong secara terang-terangan. Dr Malik pernah menyebut di dalam ucapannya semasa perhimpunan semester:

"Mereka ini-, yang membela mangsa buli dan memberi pengajaran kepada pembuli adalah suatu tindakan bayang-bayang yang sangat tuntas. Jika tidak kerana perundangan sekolah ini, sudah tentulah saya turut serta!"

Berapi-api ucapannya. Tiada yang menyumbangkan tepukan masa itu sebab perbuatan demikian akan menimbulkan rasa curiga pihak penguasa kolej. Budak-budak kolej sudah besar semuanya. Pemikiran sudah masak dipanggang asak dunia. Berbalik kepada kisah perhimpunan itu, hanya Qushairy dan beberapa orang pengikutnya yang setia sajalah yang bersorak. Sehingga menimbulkan kecurigaan dan mereka masuk ke dalam mahkamah kolej.

Ah, itu kisah dulu, bisik Qushairy. Sekarang ini, dia perlu memikirkan cara untuk melarikan diri dari situasinya sekarang ini. Entah sudah berapa lama dia bertentang mata dengan Mika`il si pembelot. Dialah yang memberitahukan pengarah tentang perbuatan Qushairy mengambil-alih autoriti penguasa sekolah. Setelah Qushairy diberkas, Mika`il merebut kedudukan itu.

"Woi, apa kamu buat tu!!"

Reynaldo muncul.

Thursday, September 29, 2011

Kritikan Tipikal Politik

Politik itu umpamanya bangunan,
Tiangnya nafsu inginkan kuasa,
Lantainya unsur megalomania,
Binaan materialis, dirias renda-renda sekularis.
Bercat hipokrasi,
Yang menerbitkan bau provokasi. 
Politik tatahnya batu neraka,
Jika dunia diberi prioritas utama,
Mengawal rutin dan cara hidup segala,
Ini bukan lagi rutin- ia bisa jadi agama. 
Politik itu asalnya murni. Suci,
Tengahnya mula pahit dan kelat.
Pada bahagian terakhir, semuanya basi.
Pemisah dua jiwa, 
Pemecah dua juta suara,
Penghambur ribuan kacau,
Menggugah, mencerca, menghalau,
Kebenaran. Politik menghijab hati,
Dengan fanatisisme melampau. 
Politik menggumpal masharakat jadi suatu jisim kebutaan.
Mempermainkan status quo, memperbudak isu.
Menekan jisim tadi jadi bekas-bekas menadah keringat.

Tuesday, September 27, 2011

Semua Yang Ada (7)


Langit petang kelihatan merah menyala dibakar kemegahan benderang suria. Petang semakin kini terbelah dua antara merah di Barat dan biru di sebelah Timur. Sedangkan Deedat masih sibuk dengan sesi tarbiah diri di dalam bilik, membilang butir-butir tasbih seiringan dengan rentak alunan zikirnya. Sebentar tadi sebelum itu, dia melaksanakan fardhu `Asar. Zikirnya itu, alam pun seakan turut serta.

Pada dada langit, tercoret suatu makna yang hanya pengertian sendiri dapat memuaskan desakan. Memandangkan rumah banglo dua tingkat milik ibunya itu bertempat dekat dengan perairan, maka tidak sukar untuk menyaksikan gelagat burung camar mengepakkan sayapnya, balik ke sarang. Sambil memerhatikan itu, Deedat bertahmid beberapa kali. Terimbau mafhum ayat ke 19, Surah Al-Mulk:
"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Langit semakin rancak bersaling tukaran warna dan skemanya, apabila Deedat ternampak seorang lelaki yang sedang berjalan menjinjing beg kertas. Pada tangan kirinya, seutas tali dan pada hujung tali itu, seekor anjing terrier yang terkedek-kedek mendahului tuannya. Reynaldo.

Dari tingkat dua itulah, dari sebalik selapisan jendela kaca itu, Deedat melambai-lambai ke arah Reynaldo sebelum berpaling ke meja belajarnya. Tasbih diletakkan di dalam laci, pintu kaca sorong; disorong.

"Reyn!! Reynn!!!", jeritnya lagi. Lambaian tangan masih sama kekerapannya; yalah, atlit, kan.

Deedat tersenyum sendirian melihat kesukaran Reynaldo mengenderai haiwan peliharaanya itu. Dia berjalan arah mana, anjingnya berjalan arah mana. Bertarik tali pula mereka. Beberapa ketika kemudian, kawalan berjaya diraih dan Reynaldo- menyedari namanya dipanggil- menggagahi juga langkah yang semakin berat melawan kelenguhan beriadah. Berat anjing terriernya menambahkan lagi kesukaran.

Deedat menuruni anak-anak tangga depan rumah yang bersambung sekali dengan pintu sorong biliknya. Pada birai tangga itu, lilitan pokok orked ungu dan indigo menghiasi. Di perkarangan, rumput halus umpama karpet terbentang sejauh tebing yang mengunjur ke tengah pentas benua, dengan deruan angin yang meniupkan setiap helaiannya. Segala yang hidup di situ, hidup subur disimbah zarah-zarah air terpecah, hasil hempasan ombak Laut Atlantik ke perbatuan di tebung dekat situ. Dekat rumah Deedat.

"Haha, rajinnya saudara kita ni beriadah. Pemain ragbilah katakan...". Deedat mengusik rakan ragbi sepasukannya itu. Baginya, Reynaldo adalah pemain ragbi remaja terhebat yang pernah dia saksikan. Dahulu, jika tidak kerana minda strategis yang sedang berdiri tercungap-cungap di hadapannya ini, sudah tentulah Westblack telah mengalahkan pasukan mereka, Southall College. 

Reynaldo kelihatan masih belum reda dengan kepenatan. Seluruh badannya berpeluh, ditambah baju yang ketat, menampakkan ketul-ketul otot seorang pemain ragbi. Anjingnya masih cuba untuk bingkas dari situ, tetapi tangannya erat menggenggam tali berwarna hitam yang menghubungkan mereka. Disentapnya perlahan, tiap kali Harry- anjing baka Amerika itu- cuba untuk membolos ketat simpulan tali.

"Duduklah, Reyn", pelawa Deedat, sambil kerusi besi ala-ala Kolonial ditarik ke belakang bagi memudahkan Reynaldo duduk. Deedat hanya berdiri melemparkan pandangan ke laut, sebelum tersedar bahawa yang disuruh duduknya tadi itu, tetamu. Apalagi rakannya. Terus bertanya,

"Hendak segelas air kah?"

Angguk. Anjing terrier Reynaldo turut menyalak. Serba-salah tiba-tiba menyerang Reynaldo.

Deedat bergerak masuk ke dalam rumah untuk mengambil segelas air pintaan Reynaldo. Bukan air biasa diambilnya, tetapi buah limau mandarin diperahnya. Dalam pada itu, dia mengerling ke sekitar ruang tamu vila itu, mencari kelibat ayahnya yang sebentar tadi sedang khusyuk menela`ah surat khabar. Bapanya itu, tiada lain yang ditatapnya melainkan perkembangan politik di tanah air mereka, Malaysia. Setiap hari ada saja perbincangan politik yang dihidangkan bersama hidangan makan malam.

Ibunya, Puan Jessica Abdollah merupakan mu`allaf dari Texas. Bukan saja cantik, tetapi kaya dan vila ini, yang diduduki mereka ini adalah milikan bapanya, yakni datuk Deedat. Tidak pernah ibunya mengungkitkan hal itu apabila mereka dalam pertengkaran. Jadi, tiada masalah dalam famili mereka.

Dalam pada itu, Reynaldo sedang asyik menikmati bayu puputan Atlantik di halaman vila dua tingkat itu. Hatinya berkira-kira dengan kekayaan dan kepopularan serta keindahan rupa paras Deedat. Apa yang tiada pada budak lelaki Melayu-Amerika ini?

Lihat sajalah vilanya. Lihat sahaja tiga kereta dan sebuah RXZ yang tersusun di dalam garaj keluarganya. Paling tidakpun, meja yang berdiri di depannya dan kerusi yang Reynaldo duduki: mewah. Namun hairan seribu kali hairan dia. Apabila di sekolah, miskinnya kalah budak yang layak dapat biasiswa itu. Pensyarah semuanya bukan tahu betapa kayanya anak muda ini.

Pintarnya lagi, usah dipersoal, membuang masa. Tiada keraguan pintar Deedat, walaupun sedikit rendah dari Reynaldo. Kemahiran beliau mengeksperimentalisasikan pantukan dalam mutlak melalui model paip campur lampu suluhnya. Semua guru Sains bertepuk tangan apabila cahaya biasa mampu Deedat bengkokkan, sebengkok 180 darjah bulatan halus.

Angin Atlantik telah membawa Reynaldo pergi jauh ke dalam dunia iri hatinya, sehingga tidak sedar dia namanya diseru berulang-kali. Hanya setelah ditepukoleh Deedat, barulah dia meresapi semula jasad. Ruh tadi sudah terbang jauh, sejauh syurga mungkin.

"Fikirkan apa, Reyn? Pasal aturan debat lagikah?"

Reynaldo tersenyum tawar dengan usikan Deedat itu, sekadar memelihara perasaan lelaki mulia ini. Sedikit demi sedikit, entah kenapa, pelik rasa atau sememangnya daya tarikan karisma beliau- Reynaldo semakin rasa suka untuk berdamping dengan Deedat. Rasa macam bersaudara.

Sekarang dia mula ragu-ragu dengan indoktrinasi ibunya yang mengatakan Islam mengajar keganasan. Berani dia katakan; Deedatlah, pada pandangannya orang terakhir sekali yang mungkin menjadi militan di sekolah mereka.

"Deedat, tidak salahkah kalau saya bawa anjing ini ke perkarangan rumah kamu?"

"Tidaklah... asal jangan sampai masuk ke rumah.", jawab Deedat sambil menghulurkan segelas jus oren. Bersama huluran itu, disertakan senyuman ikhlas yang melambangkan dalamnya persahabatan mereka. Dahulu sekelas, semasa belum berkenal, mereka tidak pernah bertegur sapa. Keduanya asyik bersaing mengejar gelaran siapakah yang lebih pintar dalam kelas mereka. 

Remaja. Itulah tahu mereka. Sematang-matang dirinya pun, ada juga sifat kecindan sebagai manusia dan baginya yang penting usaha. Teringat pula dia Surah As-Saffat, ayat 60. Tetapi setelah dialog tempoh hari, mereka berjaya menjalin persahabatan yang memang tidak pernah orang lain fikirkan. Perbezaan hitam putih dogma tidak membantutkan usaha bagi mereka untuk saling mengenali.

"Sedang berbuat apa tadi di atas?" tanyai Reynaldo, setelah mnikmati sehirup dua air tadi. Janggal benar dia melayan bunyi ombak pecah dan serak suara beburungan camar di dalam simbahan terakhir cahaya matahari. Puputan bayu laut pun gemersik semacam.

Tiba-tiba, Harry melompat ke meja, lalu pangkuan Deedat. Anjing itu pantas menjilat mukanya sekali dua. Lalu anjing itu pantas melompat ke pangkuan Reynaldo dan apalagi;

"Harry- Harry! Behave yourself!". Laju tangan memukul anjingnya, Reynaldo. Malunya dia memperlakukan tuan rumah sebegitu, sudahlah si tuan rumah Muslim. Dipukul-pukulnya kepala Harry beberapa kali lagi. 

Deedat menghalang. Dalam kejelikan rasa mengelap lekit-lekit salivary amylase anjing kacukan itu, keinsanan merajai geram. "Jangan diapa-apakan, Reyn. Anjing  kamu tu". Jemarinya masih sibuk membuang air liur mughalazzah yang masih bersisa pada helaian rambut dan rongga. Rasa jijik memang tidak dapat dibuang jauh-jauh, tetapi dalam ketidaksengajaan itu, dia lebih merisaukan anjing Reynaldo yang dipukul tuannya tanpa henti.

Setelah meredakan Reynaldo, Deedat membongkok ke bawah meja bagi mengutip gelas-gelas yang telah dijatuhkan Harry. Dalam kepalanya bermain sejuta rasa; sama ada untuk marah dan kecewa, atau sabar. Pertama kali inilah dia rasa dijilat anjing.

Sunday, September 25, 2011

Kejanggalan Rutin

"Setiap hari hidup mesti begini dan begitu. Ke sana ke mari, tiada henti. Jedanya berwaktu, tidak boleh suka-suka", bisik hati Sukyee. Jelas suaminya pun kepenatan dan karam dalam keempukan katil mereka. Esok, perkara sama akan berulang.