Saturday, October 8, 2011

Demi Profesionalisme

Pada 27 Julai 1994, seorang lelaki memandu ke Sungai Braamfontein Spruit, berdekatan dengan Pusat Lapangan dan Kajian. Di situlah semasa kecilnya, lelaki ini selalu bermain. Segala yang ada di situ menjadi saksi kepada permulaan hidup dan kehidupannya. Namun kini, tapak itulah juga saksi pemergiannya. Dengan menyumbat gas monoksida ke dalam kereta, dia membunuh diri. Sekeping nota ditinggalkan:

"Aku sedih... tanpa telefon... duit untuk sewa... duit untuk membantu kanak-kanak... duit untuk hutang... duit!!!... aku dihantui dengan kejelasan memori pembunuhan dan mayat dan kemarahan dan kesakitan... dengan kanak-kanak yang kebuluran dan terluka, dengan orang-orang gila, selalunya polis, dengan pelaksana pembunuhan... aku telah pergi menyerati Ken, jika aku bertuah..."
Inilah orang itu. Namanya adalah Kevin Carter, seorang pemenang anugerah Pulitzer; anugerah kewartawanan darjah tertinggi dalam jurnalisme. Kematiannya merupakan antara kes bunuh diri paling mengejutkan dunia. Melalui memo bunuh diri, diterikan bahawa punca beliau membunuh diri adalah kerana kesukaran ekonomi.

Tidak. Punca beliau membunuh diri adalah rasa bersalah. 

Pada suatu hari daripada hari-hari rutinnya di Sudan, ketika dia bersiar-siar mencari santapan untuk kameranya, sebuah pemandangan mencubit pangkal profesionalisme beliau. Misterius dan estetik dengan cara yang mengerikan pemandangan yang terhidang di depan mata. 

Pada horizon, kelihatan seorang kanak-kanak yang sudah lama merangkak dengan dua kaki dan dua tangannya sedang berehat. Destinasinya adalah pusat pembahagian makanan yang jauhnya kira-kira sekilometer dari situ, untuk meraih simpati. Terasa dirinya dibebani harapan yang tinggi menggunung, melihatkan jasad yang gelap dibakar matahari bongkok ke bumi memanggil semangat untuk terus hidup. 

Dicarinya sudut yang sesuai, sebelum punat kamera menangkap gambar kemanusiaan terpopular dalam seni fotografi kontemporari. Setelah mengambil shot terbabit, Kevin bergegas pergi dari situ.

Pada 26 Mac 1993, gambar itu tersiar dalam koran 'New York Times'. Sekejap saja, ratusan panggilan diterima oleh pihak penerbit koran terbabit, menanyakan nasib budak yang ada di dalam gambar, yang sepertinya sebentar lagi akan disiat-siat kulitnya oleh si burung nasar yang menjadi latar gambar.

Berhadapan Kevin diburu rasa bersalah; takut, cemas dan kegusaran. Demi mengejar profesionalisme, beliau lupa untuk menghantar kanak-kanak tadi ke destinasi. Adakah dia sudah mati diratah si nasar? Atau tersalah jalankah? Mungkinkah dia ditembak golongan militan, atau mati kehausan dipertengahan jalan. Atas segala persoalan ini, Kevin Carter membunuh dirinya. 

Menebus dosa. Mengambil-alih derita kanak-kanak tadi.