Wednesday, October 5, 2011

Semua Yang Ada (10)



Pintu bilik disiplin terkuak. Reynaldo keluar dari bukaan itu, sambil menguraikan gulungan bajunya yang disinsingnya sebelum bertempur dengan Mika`il tadi. Ditutupnya balik pintu. Dalam pada itu, kelihatan Deedat berjalan menghampirinya dengan tiga jilid buku terjinjing kemas dalam genggamannya. Reynaldo sempat mengilas pandangan pada judul buku sebelum disapa oleh Deedat. Ada 'Antropologi Iman', 'Aku Ingin Kembali' dan 'Sains Politik Islam'. Yang ketiga adalah karangan seorang ilmuwan Islam Malaysia, Rumaizuddin Ghazali. Reynaldo pernah membacanya.

"Salaam, Reynaldo." Tersenyum. Ah, senyuman iman.

"Sama ke atas kamu. Hendak ke mana?", balas Reynaldo. Deedat mengunjukkan tiga jilid buku yang dijinjingnya kepada Reynaldo. Si ateis tidak faham dengan isyarat itu.

"Hah?"

"Hendak memulangkan buku di pusat sumberlah. Buku ini belum cukup data dan statistiknya."

"Data? Statistik? Untuk apa? Buat apa?"

"Alaa, esok pembentangan syarahan semester, kan? Itulah, tidur masa kuliah Madam Carla. Sekarang tengok, baru mahu bertanya."

Reynaldo tersengih. Alah, siapa tidak kenal dengan kehebatan Madam Carla dan eliksir tidurnya. Bersyarah seumpama menyanyikan lagu 'Impression of The West Lake' gubahan Kitaro Matsuri, dendangan Jane Zhang. Asal sahaja beliau bersuara, akal terus tumpul. Entahlah, sama ada kerana ketidak ikhlasannya ataupun memang malangnya dilahirkan demikian, Reynaldo tidak pasti. Namun yang pasti, cuma kepala Deedat sajalah yang tegak menghadap Madam Carla semasa kelas beliau. 

"Yalah, saya patut kurangkan tabiat jahat tu", jelas Reynaldo. Deedat tersenyum.

Fikiran Reynaldo dalam pada itu terbang hinggap pada peribadi Madam Carla, pensyarah Sains Sosial mereka. Orangnya berdarah Ireland kacukan Inggeris, maka tidak sukar untuk membayangkan wajahnya yang sentiasa tersenyum dan anggun terhias dengan calitan gincu merah di bibirnya yang sudah berkedut digarisi masa. Seutas kalung mutiara sentiasa tergantung di leher, jam tangan kulit berbingkai emas di pergelangan. Rambutnya putih, suka berbusana kasual dengan padanan skirt separas lutut. Orangnya nampak sangat sederhana, jika dibandingkan dengan kemewahannya sebagai seorang wanita yang bersuamikan diplomat Britain. 

Di kelas, beliau tidak pernah pula mengeluh. Kuliah akan tetap diteruskan walau bagaimana kucar-kacirpun kelas. Dengan pelajar melayani Internet, bunyi telefon berderingan dan bisikan-bisikan sang kekasih sekelas; beliau tidak ambil kisah. Asal beliau nampak Deedat menumpukan perhatiannya, maka semua jadi baik. Dunia ketika itu, seperi hanya ada mereka berdua, bertentangan.

"Hey, Reynaldo O'Hara! Jauh termenung... teringat Anastasialah tu" usik Deedat, sebelum pergi kepada hal yang lebih serius, bertanya, "Ini... kau ke mana tadi, tidak masuk kelas?"

Tersenyum dengan usikan Deedat, dan tersengih lagi, kali ini dengan sengih benci dengaan pertanyaan Deedat. Bukan dengan hakikat soalan, tetapi dengan jawapan kepada persoalan itu. Mendengus dengan penuh rasa bagus saat mengingati keangkuhan Mika`il mencabar dia bertarung. Akhirnya yang terjelepok, dia juga. Dan nasib baik jugalah Mika`il tidak menyeru anak buahnya untuk mengintervensi. Reynaldo sedar, dalam jahat-jahatnya, Mika`il masih ada maruah.

"Hmph! Si Mika`il itulah. Dibawanya bertarung tendang pukul, akhirnya dia yang tersembam."

"Jadi, mana dia?"

"Di dalam", sambil mengunjuk pintu bekas tempatnya keluar tadi. "...sedang berhadapan Mr Buchanan."

"Berdarah?". Reynaldo mengangguk tidak. "Cuba cerita..."

Muka Deedat serius mendengarkan butiran pertarungan yang diceritakan oleh Reynaldo. Pada beberapa ketika, keningnya akan melengkung ke bawah dan ada ketikanya, ternganga. Epik pergaduhan mereka.

Sebenarnya, bukan Reynaldo seorang saja yang membenci lelaki itu, Deedat turut sama. Masih dia ingat lagi ditumbuk oleh lelaki berbadan sasa itu. Salahnya bukanlah besar mana, sekadar menegur dia untuk tidak bersikap agresif dengan para pembuli. Kes terbaru, Andre Jackson Jr., parah berdarah dihambat paip besi oleh anak-anak buah Mika`il setelah didapati membuli seorang budak ambilan terbaru di dalam stor Pendidikan Jasmani. 

Deedat menghela nafas kesal. Muslim seperti Mika`il inilah yang menjadi pencetus sentimen Islamofobia di kolej ini. Alasan Mika`il mudah; ingin menegakkan keadilan. Ingin melaksanakan hukum-hakam Islam katanya. Sedangkan dalam Islam, masyarakat mana ada daulah untuk menegakkan judisiari. Itu tanggungjawab pihak pemerintah. Masalah kalau menjustifikasikan perbuatan pada niat semata, inilah.

"...begitulah. Akhirnya, saya tangkap lengannya, dan bawa dia ke bilik disiplin. Anak buahnya entah ke mana semua. Hilang masa Mike tengah berpukul dengan saya."

Deedat menghela, sekali lagi. Manusia yang lalu-lalang seakan bayangan berwarna yang melintasi dirinya perlahan. Fikirannya masih tertancap pada peristiwa yang dialami Reynaldo tadi. Apakah Mika`il tiada perasaan? Apakah di fikirannya saat melampiaskan amarah ke atas si lelaki ateis yang sedang berdiri di hadapannya ini? Tidakkah dia memikirkan konsekuensi tindakannya ke atas tanggapan agama Islam?

"Deedat!"

Sungai manusia dan kemanusiaan semakin deras mengalir. Beserta kederasan itu, mulut-mulut berlawanan nada, berlawanan kata. Ada yang sedang membincangkan isu pensyarah, ada yang sedang berbual pasal kematian Steve Jobs si pereka Apple, dan ada juga suara-suara kecil yang sedang menyebut-nyebut nama Deedat, saat melihat hujjatul Islam itu berdiri di hadapan bilik disiplin. Peminatnya, mungkin.

"Muhammad Syariff Deedat bin Al-Ibrar!!!"

Deedat pantas memusing-musingkan kepalanya mencari punca suara yang menyebut keras namanya. Apabila dia kembali memandang depan, baru dia tersenyum. Reynaldo dengan kerutan berbaur dengan senyuman. Dan ketawa kecil.

"Kau baikkah, Deedat? Saya memanggil namamu berulangan kali- tiga kali, kau boleh tidak dengar. Siap menoleh ke belakang lagi..."

"Maaf, maaf...", ucap Deedat dengan senyuman geli hati, sebelum bertukar kepada wajah serius. Wajah penuh kerunsingan. Reynaldo mengesani perbezaan itu.

"Kawan... kalau kau punya masalah, beritahu saja. Saya..", mendepangkan tangan, "...saya sudi membantu."

"Entahlah, Reynaldo. Biarkanlah saja... saya fikirkan sendiri"

"Tidak apa, awak cer-"

"Saya kata tidak apa... ini masalah umat saya, jadi biar saya selesaikan sendiri. Sekarang ini, kamu sudah makan atau belum, ini yang penting."

Reynaldo kekaguman. Anak mata redup Deedat yang bersinar melimpahkan suatu kesyahduan yang memerangkap. Sungguh penghormatan yang Deedat berikan kepada pegangannya jauh melangkaui keteguhan Reynaldo dalam berpegang kepada pemikiran ateistiknya. Ditambah pula perdebatan tempoh hari, dan dedahan kemuliaan serta karisma religius Deedat yang semakin mengelap luntur 'iman' Reynaldo, dia sudah tidak tahu berapa lama lagi mampu mempertahankan dogma ini.

Giliran Deedat pula melaungkan nama Reynaldo. 

"Reynaldo O'Hara!!! Saya tanyalah, kamu sudahkah belum, atau makan? Kalau belum, mari ikut saya...",pelawa Deedat. Senyuman dilontar lagi. Senyuman yang menghempas pada perbatuan jiwa non-religius Reynaldo. Rasa bahagia dia apabila diperlakukan begitu. Membalas senyuman.

Merekapun berjalan ke kafetaria yang terletak di sebelah barat, mengikut pelan bangunan. Tiba-tiba,

"Uhm, Deedat... ". Reynaldo yang berjalan mengekori Deedat, yang baru saja memanggil nama lelaki itu, memegang bahu Deedat. Mereka berjeda seketika, apabila Deedat menoleh kehairanan.

"Apa, Reyn?", tanya Deedat. Reynaldo menunduki ke bawah, matanya ke bawah. Pada kasut kulit yang sedang dia pakai. Takut dia berhadapan dengan sepasang mata itu.

"Urmm... pasal kejadian anjing saya Harry di rumah awak kelmarin, saya meminta maaf, ya?"

Deedat tanpa banyak masa diambil, mengangguk sambil tersenyum. Dia kembali kepada berjalan, diikuti Reynaldo yang sedang berkira-kira dengan perbandingan ayahnya pasal umat Islam. Nampaknya teroris tidak sesuai dijudulkan pada si Muslim Deedat.

Atau sekurang-kurangnya buat masa ini.