Sunday, October 9, 2011

Semua Yang Ada (11)

"Hah, di sini ada tempat kosong, Reyn!", jerit Deedat sambil melambai-lambaikan tangannya kepada Reynaldo yang berada di seberang ruang kafeteria. Hiruk-pikuk manusia; bisikan mereka, berdetingan dulang besi mereka, tabiat mereka sudah menjadi semacam lautan penuh nista. Banyak dusta.

Terperangkap dalam keramaian begitu, bukan kegemaran Deedat. Kalau boleh, mahu saja dia keluar dari situ dan mencari tempat lain untuk menikmati makanannya. Namun undang-undang kolej tidak boleh disanggah, ditakuti terpaksa berhadapan dengan Mr Buchanan.

Setelah lima minit berusaha mencari-cari tempat duduk kosong untuk segera menikmati makan tengah hari, akhirnya jumpa, di suatu meja berdekatan dengan sinki. Ada Phillip di situ, sedang asyik membincangkan sesuatu dengan Caleb. Pendengaran Deedat menangkap beberapa perkataan. walaupun agak samar-samar, sesuatu berkenaan "Islam", "Rububbiyah" dan "maqasid" ada kedengaran keluar dari mulut Phillip dan Caleb, sili berganti. Ah, si Phillip. Didoakannya saja dalam hati agar dia menerima Islam suatu hari nanti. Bertentangan mata dengan mereka berdua, Deedat segera mengangkat kening sambil menghadiahkan apa yang paling dia suka hadiahkan; senyuman.

Hari-hari di Southall College of Anthropology begitulah. Asal saja loceng tengah hari berbunyi, pasti sesak berlambak manusia membanjiri satu-satunya kafetaria di kolej itu. Pada saat ini jugalah pensyarah duduk berehat di pejabat masing-masing, turut menikmati istirahat itu dengan cara sendiri. Dan Mr Buchanan pula pasti sekarang ini sedang sibuk menceramah pelajar-pelajar yang mengalami masalah disiplin. Mika`il adalah antara mereka.

Setelah melihat Deedat mengisyaratkan tempat duduk kosong, Reynaldo bergegas dengan dulang besi ditatang penuh cermat menuju ke arahnya. Dipersilakannya dahulu si pemuda Muslim itu mengambil tempat, sebelum dirinya untuk duduk.

"Hai, anak diplomat takkanlah makan roti saja", usik Reynaldo, tikamana dia terlihat makanan serba sederhana dan ringkas terhidang di atas dulang Deedat. Roti croissant dan susu kotak.

Deedat hanya mampu tersenyum simpul dengan usikan itu. Bukannya dia tidak mahu, ataupun tidak mampu, tetapi dia cuma tidak suka. Tidak selesa apabila rakan semeja menelan roti, sedangkan dirinya menikmati makanan yang mahal-mahal. Dia pun mahu merasa hidup susah, sama susah seperti ayahnya dahulu sewaktu mula-mula berhijrah ke Dunia Baru ini. Paling tidakpun, dijawabnya mengikut sunnah Nabi Muhammad SAAS dan Nabi `Isa A.S.

"Ah, kau. Tidaklah Reynaldo. Saya tidak biasa dengan keadaan mewah, sedang orang lain hanya menelan apa yang mereka sekadar termampu. Sekali-sekala, sayapun mahu belajar hidup susah, macam saudara saya di Sudan sana."

Selesai menjawab, dikuitnya secebis roti tadi lalu dimasukkan ke dalam mulut. Dikunyah perlahan, sebelum straw susu kotak menyusul memasuki mulut bagi melancarkan perjalanan makanan. Penuh adab. Reynaldo terpaku dengan kelakuan itu, mistisisme bertandang; sama seperti kisah Ibn Jarraj yang pernah diberitakan ayahnya sebagai kolot. Dan jawapan Deedat tadi, ianya benar-benar menyentuh perasaan Reynaldo. Wajah Mother Theresa segera menerpa. Kemuliaan wanita itu, kebersihan tulus jiwa dan wajahnya yang sentiasa menghadiahi manusia senyuman seiras dengan senyuman Deedat. Budinya yang dihutang oleh segenap penduduk manusia menjadi sanjungan, meskipun oleh seorang ateis seperti Reynaldo. 

Yang paling dia kagumi adalah kesabaran pemenang anugerah Nobel 1979 itu menentang kemiskinan dan kesusahan manusiawi. Tentangan terhadap perjuangan insani tidak terkira, bahkan pihak gereja mengkritik usahanya sebagai tidak berkesan. Namun lihatlah, siapa yang tidak kenal dan mengagumi wanita hebat itu.

Tidak lama dulu, bapanya pernah berkata bahawa kemuliaan wanita itu hanyalah topeng bagi pergerakan Kristianisasi beliau. Reynaldo tidak pula berfikiran sedemikian, malahan dengan jiwa remaja yang semakin merdeka, dia dapat merasa getaran keikhlasan Mother Theresa.

Entah mengapa, getaran yang hampir sama dirasainya setiap kali bersama Deedat, si pejuang Islam.

"Urhm."

Reynaldo tersentak. Oh, Deedat berdehem. Lalu tunduk merenung roti yang sudah separuh ditelan. Bubur Reynaldo pula sudah tiada wapnya, sudah sejuk. "Sudah berapa lama aku termenung?". Berbisik dengan diri sendiri. Kekaguman masih belum usai.

"Kenapa?"

Melihat ke depan. Tiada apa. Begitupun Deedat tetap dengan perlakuan sedemikian.

"Ada apa, Deedat?"

Deedat memuncungkan bibirnya ke meja depan, Reynaldo memandang ke arah itu. Lama dia tercari-cari, sebelum matanya menangkap seorang perempuan yang berbaju 'sweater' lengan panjang berwarna biru gelap dengan rambut blonde terurai separas bahu. Pada tangan kirinya, secawan latte mungkin, dan pada tangan yang lagi satu adalah buku yang sedang ditatap dengan penuh perhatian. Muka Anastasia sememangnya nampak cantik, apatah lagi jika dia sedang menekuni novel ratusan muka surat dengan muka serius. Sambil menekuni baris demi baris ayat novel, bibir mungilnya yang sentiasa terpalit gincu merah jambu ringan akan melengkung ke atas dan ke bawah, mengikut jalan cerita, seolah-olah dia betul-betul berada dalam fantasia penulisan.

Anastasia adalah- tanpa syak lagi- wanita paling indah di kolej itu. Sentiasa sederhana dalam berpakaian. Latar belakang intelektualismenya yang tinggi menempatkan dia sebagai salah seorang pelajar perempuan dalam senarai calon teman wanita Reynaldo. Entah bila dia menceritakan perihal itu kepada Deedat, tahu-tahu saja Deedat sudah boleh mengasak tanjung perasaannya setiap kali Anastasia berlalu.

Namun bagi Reynaldo, atau mungkin seluruh pengagum Anastasia, bukanlah wajah dan kepintaran pendebat kolej itu yang menjadi umpan menuba kelelakian mereka, tetapi sifat konservatifnya yang jauh melampaui definisi kemodenan bagi pelajar perempuan lain. Jikalau musim panas penuntut perempuan tipikal berbaju sehingga keluar yang tidak patut-patut, Anastasia kekal dengan pakaiannya yang panjang dan tebal. 'Sweater' yang paling dia gemari.

Deedat tersenyum melihat perangai Reynaldo yang sedari tadi tidak menganjakkan pandangannya dari melihat perempuan kelahiran Texas itu. Harus diakui, kejelitaannya memang mampu menambat siapapun insan yang punya nurani lelaki, bahkan Deedatpun punya perasaan terhadapnya. Namun tidaklah sampai ternganga bagai badak air berjemur.

"Woi, tutup mulut!" asak Deedat dengan suara separuh berbisik, separuh menjerit. Sikunya mengena perlahan pada lengan Reynaldo. Reynaldo yang masih berada dalam mimpi mendapatkan Anastasia dalam rangkulannya, segera mendarat semula ke dalam dunia realiti. Tersipu-sipu dia apabila dilakukan sedemikian, apatah lagi oleh di hadapan wanita pujaannya. Anastasia- mungkin sedar dirinya diperhati- pantas menanda tempatnya berhenti membaca lalu menyumbat novel 'In God's Grace' itu ke dalam beg sandang coklat. Dihabiskan hirupan titis latte terakhir, sebelum bergerak pergi. Tiada reaksi apapun pada wajahnya; marahkah, sedihkah, ataupun suka?

Sekali lagi, Reynaldo tersenyum memikirkan kemungkinan hakikat itu. Dan sekali lagi, Deedat menyikunya.

"Kalau saja boleh kudapatkan Anastasia..."


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


"Boleh saya bertanyakan sesuatu?". Tiba-tiba, seorang perempuan bermata hijau yang entah dari mana mendekati, menundukkan sedikit kepalanya kepada Deedat. Rambut hitamnya panjang berkilau dengan dua garis halus warna putih mengurai di depan Deedat. Reynaldo kehairanan. Dua jejaka itu berpandangan. Siapa?

"Hai, saya Clara. Clara McKenzie", sambung wanita itu. Sopan.

Deedat dan Reynaldo masih berpandangan.