Monday, October 3, 2011

Semua Yang Ada (9)


Reynaldo mendengus menggila. Sabar sudah tidak mampu menampung amarah, apalagi benci. Mika`il sudah banyak kali menimbulkan kekacauan kepada kolej ini dan pelajarnya dan Untuk itu- menurutnya- Mika`il perlu diberi pengajaran. Sudah lama dia tidak membenamkan buku limanya ke dalam perut lelaki berdarah Auschwitz-Serbia yang sedang berdiri segah di depannya itu.

Sunyi. Berisik suara lelaki dan perempuan hanya sayup kedengaran. Semuanya sudah masuk ke kelas, sedang beberapa orang masih sedang dengan urusan mereka. Reynaldo, Qushairy dan geng anarkis Mika`il. Melalui tingkap-tingkap besar yang bersusun bahagian atas dinding koridor, simbahan cahaya pagi semakin terang dan panas merembati seluruh koridor tempat semua syaitan sedang berpesta melihat ketegangan dua anak Adam. Sejarah Habil dan Qabil sepertinya akan berulang.

Mika`il meregang-regangkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Bagi setiap gerak, ada bunyi berdetap-detap. Isyarat tangan dia lambungkan ke udara, mengarahkan agar Qushairy dilepaskan. Dilepaskan. Reynaldo kini menjadi tatapan dua belas mata manusia yang dahagakan sedikit aksi dan reaksi. Qushairy mengambil kesempatan untuk berlari dan melepaskan diri dari buruan kumpulan gelap itu. Selagi masih mampu dielakkan, dia akan cuba meminimumkan pembantaian. Kepal jemarinya sudah jemu menyantap darah. Muka sudah serik mendapat pukul tendang. Cukuplah dulu.

"Reynaldo, awak patut larii!!", jerit Qushe` sambil menapak seribu menjauh. Derap deras sepatunya semakin  menghilang dan sayup kedengaran di hujung koridor. Itulah nama singkatan Qushairy; Qushe`. Waktu-waktu dahulu, barang nama Qushe` lah yang menjadi gedung gelak ketawa. 

Reynaldo merupakan seorang pemegang tali pinggang hitam dalam seni bela diri taekwondo. Dahulu semasa berada dalam pusingan akhir, Mika`illah yang ditentangnya. Mereka bertarung sengit. Begitupun, badan setinggi 176 sentimeter Mika`il belum cukup layak untuk menjatuhkan seorang pencinta seni bela diri sebenar seperti Reynaldo. Masih tidak luput dari ingatan Reynaldo, wajah Mika`il saat menerima kalungan medal naib johan peringkat daerah setelah dikalahkan olehnya. Pada podium lebih tinggi, adalah dia.

Dahulu, mereka sahabat baik. Sama seperti Qushairy dan Mika`il dulu. Mereka bertiga menghadap jurulatih yang sama, berlatih di studio yang sama, malahan; mereka sama-sama meraih tempat di hati guru taekwondo mereka dan digelar 'Three Musketeers'. Kemahiran mereka mempersembahkan sisi artistik-estetik taekwondo secara trio dianggap sebagai mukjizat. Ramai memuji.

Tapi setelah Qushe` meninggalkan kumpulan pembela mangsa buli itu, dan semenjak Reynaldo memegang jawatan Presiden, dan sesudah Mika`il melayani kehendak megalomaniak merebut kedudukan Qushe`; mereka sudah tidak sepakat. Qushe` membantah Reynaldo atas sebab berlainan cara. Reynaldo dibenci oleh Mika`il atas alasan cemburu dengan kemenangan si lelaki ateis itu dalam pertandingan taekwondo sebulan lalu. Qushe` ada turut serta, tetapi dia tidaklah seemosional Mika`il.

Pandangan masih lagi berpedang. Masing-masing saling mengira pengalaman dan kekuatan mereka. Sudah berlaku peperangan maya antara mereka. Tangan dibukukan ketat, kaki bersedia untuk sebarang refleks yang perlu.

"Mike, sudah aku katakan beratus kali, berhentilah membuat semua ini!"

Mika`il tersenyum senget saat namanya diseru. Bergerak selangkah ke hadapan, menghala kepada Reynaldo setiap saat. Terbayang sudah olehnya kekalahan Reynaldo yang tersembam ke jubin kolej, mencium pemijakan orang ramai. Semuanya berjalan seperti yang dia rancangkan, yakni dengan mencari alasan, peluang dan ruang untuk membalas dendam atas kekalahannya tempoh hari.

Pertemuan ini, sudah lama dia rancang, sejak seminggu lalu lagi. Dikerah seluruh anak buahnya untuk menyiasat rutin harian Reynaldo dan Qushe` di kolej itu. Setelah itu, diaturnya hari ini. Dia tahu kedua manusia yang pernah menjadi sahabat baiknya akan lambat masuk ke kelas. Reynaldo dengan perjumpaan pengawasnya, dan Qushairy dengan sikap berlewa-lewanya. Meskipun sudah bukan penyangak sifat itu masih ada.

Angin di luar kolej berpuput diam. Dedaunan mapel yang menguning disimbah matahari berterbangan saat angin menghembuskan nafasnya. Nafas pagi. Awan dalam pada itu berkepul-kepul, berarak, turut mengikut arah tiupan angin, melindungi matahari dari terus menyiksa zahir penduduk Bumi. Di perkarangan barisan loker, terdapat suatu kesunyian antara dua manusia yang sedari tadi berpandangan. Kesunyian itu membingitkan.

"Reyn, berapa sudahku menunggu waktu seperti ini, kamu tahu? Heh, sekarang tunjukkan kesaktian gerak seni bela dirimu!"

Mika`il bergerak setapak demi setapak menghampiri Reynaldo. Semakin lama, derap kakinya semakin laju, sehingga pada ketika yang akhir, dia seakan sedang berlari. Reynaldo mengambil posisi bersedia, berkekuda. Kakinya dijangkangkan sedikit, sebelah di hadapan dan sebelah di belakang. DSempat juga di menyingsing lengan baju yang panjang.

Setelah sekaki hampir, Mika`il menujah tumbukan dengan tangan kanan, mengarahkannya ke dada Reynaldo. Reynaldo menangkap tangannya, Mika`il menendang dengan kaki kiri, juga gagal. Reynaldo memegang erat keduanya lalu menghayun tubuh Mika`il yang bota itu ke kiri dan ke kanan. Setelah selesa dengan momentum, dihempaskannya ke loker, namun begitu, Mika`il masih tidak terkesan.

Reynaldo melompat, lalu sebuah tendangan pusing dilakukan. Mika`il tunduk separuh duduk, maka kaki Reynaldo pantas saja menghentam loker. Ada kesan kemik padanya. Satu lagi sepakan dari bawah diutarakan Reynaldo. Kali ini mengena pada bahu Mika`il. Terperosok dia ke kanan.

Dia bingkas bangun lalu mengesat bahunya. Juzuk ditegakkan semula, menyediakan diri untuk menyerang balas. Reynaldo dalam pada itu mengambil tiga langkah ke belakang, bersedia untuk menepis sebarang serangan dari si pahlawan Auschwitz ; Mika`il Bogrovskovic.

Setelah posisi diambil, langkah kekuda tradisi diraih, Mika`il menyeru segala kudrat berlari ke arah Reynaldo. Tangannya dipadukan dengan tenaga, cuba mengaplikasikan teori pemindahan jirim ajaran sifu taekwondonya dahulu. Sekilas saja, tumbukan itu menerjah, lalu giliran Reynaldo pula tunduk. Dia tunduk sambil berpusing, lalu menangkap tangan penumbuk Mika`il pada lengan dan dekat ketiak.

Diangkatnya sekuat mampu lalu dihumban ke depan.

Setelah melihat Mika`il tersembam ke lantai, bertiarap; Reynaldo melakukan apa yang polis sentiasa lakukan. Melompat ke belakang si penjenayah lalu memulas tangan mereka. Mika`il kalah. Dia cuba menggelupur seketika bagi meloloskan diri, namun bagi setiap percubaan, Reynaldo pasti akan menguatkan lagi pulasan tangannya.

Angin di luar meniupkan awan jauh-jauh. Kini, matahari mendapatkan haknya semula.